Thursday, April 5, 2012

tentang saya dan kembara dunia


menjelang April 2012, genap setahun kembara saya dan keluarga menjengah bumi Eropah. terima kasih ya Rabb kerana mengizinkan saya melihat bumi-Mu yang telah lama saya dambakan dalam mimpi. sejak usia belasan tahun, memang saya menyimpan angan-angan mahu melihat dunia sementelah pula emak dan ayah pernah membawa saya dan adik-beradik lain menunaikan umrah buat kali yang pertama pada tahun 1993, waktu itu saya di tingkatan enam atas, dan sedang menunggu keputusan STPM. destinasi Makkah dan Madinah bukan sahaja telah saya lawati kala itu bahkan saya berpeluang ke negara Jordan. seusai urusan ibadah umrah, kami bergerak pula ke Amman, Jordan dan kembali ke tanahair dari negara terbabit. pada waktu itu juga merupakan kali pertama pengalaman saya menaiki kapal terbang bahkan jauh mengembara melihat bumi Tuhan, sedangkan waktu kecil hanya berpeluang ke negara jiran, Singapura. 

setelah beberapakali berpeluang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci kerana umrah saya yang kedua pada tahun 1997, diikuti melaksanakan ibadah haji pada tahun 2002, dan sekali lagi menunaikan umrah pada tahun 2008 (setelah berumahtangga), saya memang teringin mahu ke negara Eropah pula. hasrat saya itu selalu terpatri dalam diri sementelah semasa menyempurnakan Ijazah Doktor Falsafah (2001-2005), saya tidak berkesempatan berbuat demikian walhal peluang terbuka luas lantaran masalah kesihatan yang saya alami. dan saya masih ingat, haji yang saya kerjakan pada tahun 2002 itu juga merupakan haji nazar yang diniatkan emak akibat daripada kesihatan saya yang tidak menentu sepanjang bergelut dengan pengajian kedoktoran. dan alhamdulillah saya terhutang budi dan nyawa dengan emak kerana sebaik sahaja menyempurnakan ibadah haji, kesihatan saya beransur baik sehinggalah saya berjaya menyudahkan disertasi penulisan tesis, dan akhirnya bergelar "doktor falsafah". dan barangkali inilah kemenangan yang paling indah dalam hidup kerana saya berjaya mengatasi kemelut diri yang dihujani "derita" yang panjang angkara perbuatan sahabat sendiri (barangkali saya berpeluang mencoret kisah silam saya pernah disihir oleh sahabat satu pengajian di kampus Lembah Pantai pada catatan akan datang).

justeru, peluang keemasan bergelar pensyarah dan peluang membentangkan kertas kerja di luar negara saya manfaat sungguh-sungguh. malahan saya benar teruja dengan sahabat akademik yang berpeluang melangkah ke luar negara membentangkan kertas kerja masing-masing. lebih-lebih lagi sahabat baik saya ini, Prof. Madya Dr. Haliza Abd. Rahman (pensyarah di USM, Kubang Kerian, Kelantan) sentiasa mengirimkan khabar tentang pengalamannya merata membentangkan kertas kerja membuatkan bara semangat saya menjengah dunia Tuhan makin ketara. saya menanamkan azam bahawa suatu masa nanti saya jua akan menakluk dunia dengan apa cara sekalipun. dan akhirnya peluang berkelana ke negara Eropah tercapai apabila abstrak saya diterima oleh pihak penganjur Goethe Universitat, Germany untuk membentangkan kertas kerja. syukur yang paling dalam tentunya pada Ya Awwal Ya Kabir yang merealisasikan impian saya menjadi nyata.

tanggal 29 Mac 2011, setelah menguruskan banyak perkara sebelum tarikh keberangkatan, saya akhirnya memanjat tangga pesawat Qatar Airlines di Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk ke destinasi Qatar (transit selama beberapa jam) sebelum tiba di lokasi yang diidami, Frankfurt, Germany. bersama-sama dengan suami dan anak-anak, Kamila dan Khayra saya harungi penghujung musim sejuk dan bermulanya musim bunga di negara empat musim yang menjadi igauan sepanjang dunia imaginasi dan kreativiti saya dalam penulisan kreatif. ya Rabb, akhirnya, setelah lama menyimpan cita-cita, memasang angan-angan dan memanjat doa, saya dengan izin-Mu sampai ke dunia yang asing ini, dan bahagianya hanya Dia Yang Maha Mengetahui. seluruh sukma saya bergemercing riang sementelah pula bahagia melihat anak-anak di sisi, dan suami yang sentiasa memahami berada dalam kembara dunia ini. ya Allah, untuk sekian kalinya, saya menadah tangan merafak doa pada-Mu, terima kasih, terima kasih dan terima kasih. saya sebenarnya takjub melihat keindahan ciptaan-Mu dan saya juga sesungguhnya malu pada-Mu kerana betapa kerdilnya diri ini kerana melunasi impianku, pun kekadang sering alpa dan ingkar suruhan-Mu. Allah al-Wali (Yang Maha Melindungi), al-Muhyi (Yang Maha Menghidupkan), al-Alim (Yang Maha Mengetahui) ampunkan saya Tuhanku!


No comments:

Post a Comment