Wednesday, March 28, 2012

tentang saya dan keluarga (v)






sejak hamil anak ketiga ini, saya perasan keadaan kesihatan makin menurun dan daya kekuatan makin luntur. ditambah pula dengan emosi yang sering terganggu dan fikiran kerap disumbat dengan pelbagai permasalahan kehidupan. lantaran itu saya kerap rasa letih, lesu dan tidak bermaya; kalau boleh masa mahu diisi dengan rehat yang panjang tanpa melakukan kerja-kerja yang berat. selain itu, saya fikir barangkali disebabkan faktor usia saya yang sedang menghampiri angka 40 pada tahun hadapan. jadi, stamina mula berkurangan dan fizikal mula mengalami sakit yang pelbagai. musabab itu saya kira rahsia Allah Ya Rahman Ya Rahim menghantar zuriat ketiga kepada saya kala sedang bercuti sabatikal, jadi banyak masa dihabiskan dengan kerja penyelidikan dan berehat di rumah.

pun, sepanjang cuti di tanah kelahiran ini emosi saya sering terganggu lantaran ragam anak kedua, Khayra yang agak lasak dan manja. seringkali sikecil saya yang bakal mencecah usia 3 tahun pada 23 Oktober 2012 nanti dijadikan kemarahan saya pabila saya tidak tahan melayani kerenahnya yang suka merengek dan tidak mempedulikan arahan saya. sementelah pula cuti saya kali ini di kampung halaman terganggu dengan kehadiran anak saudara (anak adik saya), Sofia yang lasaknya luar biasa. mereka sering bergaduh dek kerana hal-hal kecil.walaupun isu anak-anak bergaduh isu biasa, namun dengan keadaan fizikal saya yang sarat "membawa perut" sekarang begitu menganggu emosi. saya tidak tahan dengan kerenah mereka yang "tidak mendengar kata" ditambah pula dengan jeritpekik yang mengegar suasana damai rumah. dalam tempoh tiga minggu ini saya terpaksa menjaga 3 orang anak kecil yang sebaya usia (3, 4 dan 5), bayangkan...

satu perkara yang membuatkan saya tersentuh dengan sikap Khayra sudah pastilah kemanjaannya dengan saya mengatasi kakaknya, Kamila. walau macamana amarah saya kepadanya dan kekadang terpaksa membuatkan saya mencubit pahanya, namun dia tetap mahukan saya di sisinya. sikecil saya ini akan merengek mahukan saya tanpa mempedulikan pujukan emak atau ayah saya. lantaran itu saya seringkali akan rasa bersalah bila melihat dia menangis, pun saya tidak ada pilihan kerana kudrat saya kala hamil ini begitu membatasi. barangkali kalau ada suami sama-sama bercuti di sini, saya boleh berkongsi menguruskan kerenah sikecil kami ini; pun, kata orang-orang tua, "budak kalau nak dapat adik, memang begitulah ragamnya", dan saya harus menerima hakikat itu.

cuma tinggal tiga hari lagi cuti kami akan berakhir; dan di setiap penghujung malam kala diberi kesempatan bangun mendirikan solat sunat, saya sempat bermunajat dan merintih pada-Nya bahawa "Ya Allah, kurniakanlah kesabaran kepada saya mendidik anak-anak kerana mereka merupakan amanah kepada saya" sambil air mata saya merembes laju. ketahuilah anak-anak ibu bahawa cinta dan kasihku padamu amat tinggi, pun kerana keupayaanku makin berkurangan kini, moga kalian menjadi anak yang mendengar kata, begitu pohon saya setiap detik. sesungguhnya anak-anak saya, Kamila dan Khayra, ibu mohon ampun jika sering berkasar kala menguruskan kalian. semoga kalian menjadi anak yang solehah, begitu tanpa jemu saya berdoa!


No comments:

Post a Comment