Monday, March 26, 2012

tentang saya dan keluarga (iii)




saya memang bercadang mahu bercuti di tanah kelahiran sepanjang cuti sabatikal kerana setelah memperoleh ijazah doktor falsafah dan bergelar "Dr", berkhidmat di kampus Serdang dengan kesibukan yang bukan kepalang, saya tidak berpeluang bercuti panjang. sementelah pula emak saya kini kurang sihat dan memerlukan rumah dihuni anak-anaknya. puteri sulung saya pula, Zahra Kamila yang menjadi kesayangan ahli keluarga terutama emak saya juga sudah acapkali mengajak saya pulang ke kampung. jadi, setelah suami mengizinkan saya bercuti dengan ahli keluarga di tanah kelahiran, saya amat bersyukur. kerana juga saya satu-satunya anak perempuan emak dan setelah berumahtangga sudah lama tidak bersama-sama dengan emak di kampung, kala diberi peluang oleh suami bercuti, Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui perasaan saya.


justeru, awal Mac 2012 saya pulang ke Kemaman bersama dengan dua puteri, Kamila dan Khayra. suami berjanji akan mengambil saya kembali semula ke Bangi pada hujung Mac nanti. bermakna saya punya masa lebih kurang tiga minggu bersama emak dan ayah. kebetulan tarikh23 Mac 2012, hari ulang tahun kelahiran saya dan anakanada sulung, Zahra Kamila pula jatuh pada hari Jumaat ketika saya berada di kampung halaman. saya kira inilah kali pertama saya dan Kamila menyambut ulang tahun kelahiran masing-masing jauh daripada suami dan ayah. pun, saya bersyukur kerana buat pertama kali saya menyambut ulang tahun kelahiran bersama emak dan ayah di tanah kelahiran setelah enam tahun berumahtangga. mana mungkin peristiwa ini akan berulang lantaran emak dan ayah juga sudah berusia.


23 Mac 2012, saya dan Kamila yang berkongsi ulang tahun kelahiran kali ini menyambutnya di kampung halaman saya, walaupun tanpa hadiah dan pertemuan dengan suami yang masih di Bangi, pun kemeriahannya cukup terasa kerana meraikannya bersama emak dan ayah. syukur ya Rabb kerana memanjangkan usia saya dan puteri saya dan bakal menyambut anak ketiga pula!

No comments:

Post a Comment