Monday, March 26, 2012

tentang saya dan keluarga (ii)




saya pernah bercita-cita untuk melakukan cuti sabatikal di luar negara, sementelah semasa menyudahkan ijazah doktor falsafah dulu saya tidak berkesempatan berbuat demikian. destinasi impian saya tentulah ke negara Eropah kerana saya berhasrat meneroka banyak perkara lantaran pada awal pengkaryaan kreatif terutamanya ketika menulis novel, latar saya banyak dibuat di luar negara. hasrat saya ini pada awalnya memang disokong suami kerana dia maklumi cita-cita besar saya itu. namun apabila difikir semula, saya tidak tergamak untuk meninggalkan keluarga demi cita-cita lantaran anak-anak sangat rapat dengan saya. tambahan pula pihak universiti tidak menanggung perbelanjaan dan perjalanan ahli keluarga. sementelahan pula kami baharu sahaja ke lima negara Eropah pada tahun 2011. mana mungkin dalam tempoh tidak sampai setahun, kami harus mengorbankan duit simpanan sedangkan semasa ke sana pada hujung Mac 2011 yang lalu, sudah banyak wang simpanan kami laburkan untuk perjalanan ke Frankfurt, Geneva, Amsterdam, Paris dan London.

justeru, saya padamkan hasrat ke benua Eropah walaupun impian sarat menggunung. jadi, semasa mengisi borang permohonan cuti sabatikal, saya hanya menghantar proposal ringkas tentang perancangan penyelidikan saya di tiga negara Asia Tenggara, iaitu Jakarta, Bandar Seri Begawan dan Singapura. lantaran tidak mahu berpisah dengan anak-anak dan suami, saya fikir dengan rancangan saya melakukan di negara sekitar, saya boleh membawa anak bersama-sama.

awal Januari 2012, rupa-rupanya cita-cita saya tidak keluar negara ada hikmahnya yang tersembunyi. ia merupakan rahsia Allah yang amat besar buat saya. baharu saya tahu bahawa jawapan kepada saya tidak nekad keluar negara kerana Allah mahu menganugerahkan saya "sesuatu" untuk keluarga kami. saat saya disahkan hamil anak ketiga, tiada ungkapan yang dapat saya lafazkan, saya pernah terniat untuk menambah zuriat, Allah terlebih dahulu memperkenankan doa saya. ya Rabb, betapa kerdilnya diri ini. saat sahabat-sahabat rapat mengetahui berita saya hamil, ramai menyatakan bahawa saya bijak merancang kerana cuti sembilan bulan bersabatikal, memang sesuai untuk hamil. oh, tidak saya menjawab; saya tidak pernah merancang, dan saya juga bukan bijak merancang tetapi Allah Ya Rahman ya Rahim jua yang merancang dan hebat merancang buat saya.

menunggu detik sembilan bulan cuti sabatikal berakhir, menunggu detik sembilan bulan anak ketiga saya bakal lahir, saya sesungguhnya ya Rabb amat malu pada-Mu kerana begitu banyak rezeki yang kau anugerahkan buat hamba-Mu, pun saya selalu merasa tidak cukup berbakti pada-Mu. Allah Ya Latiff, Ya Qahar, Ya Ghaffar, kuatkan diri ini untuk beribadah hanya pada-Mu!

No comments:

Post a Comment