apalagi yang boleh saya lakukan sepanjang cuti panjang, cuti penyelidikan, cuti sabatikal ini selain menghadap komputer, membaca dan menonton, selain melayan kerenah anak-anak di sisi? sesungguhnya melunasi cuti sabatikal yang diperuntukkan selama sembilan bulan andai tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, pasti banyak kerja-kerja penyelidikan akan tertangguh. sejak memulakan cuti pada 1 Februari 2012 yang lalu, saya sebenarnya tidak banyak melakukan usaha yang drastik tentang penyelidikan yang telah dirancang, sebaliknya memberi laluan kepada kerja-kerja lain terlebih dahulu. misalnya saya banyak menghabiskan masa menguruskan dua buah manuskrip buku yang telah dihantar kepada ITBM, melakukan penilaian terhadap satu jurnal di UMS, membaca sebuah manuskrip puisi untuk penilaian penerbitan, menilai beberapa buah cerpen untuk Pertandingan Cerpen PRESTIJ UPM, merancang beberapa buah buku bersama (proposal), dan membaca sejumlah novel untuk penilaian sebuah hadiah peringkat Malaysia. oh, tersusun penuh jadual kerja saya yang tentunya menguji ketabahan diri di celah-celah mengejar masa untuk memulakan kajian terhadap penyelidikan sabatikal ini. alhamdulillah, kesemua kerja-kerja tersebut telah pun usai dan saya berjaya menarik nafas lega.
ada dua manuskrip yang tiba kala saya berada di kampung halaman tempohari. kedua-duanya tebal dan memerlukan penelitian yang bukan kepalang. oh, saya kekadang mahu memuntahkan segala keluhan yang tertanggung di bahu pada seseorang tetapi sudikah mereka mendengarnya? sejak cuti dari menjengah kampus seperti lazimnya, saya mengakui bahawa saya tidak punya sahabat untuk berkongsi cerita, apatah lagi telinga untuk saya halakan segala pendaman emosi yang bersarang tentang dunia ilmiah yang saya harung. teringat waktu saya masih bujang, saya mempunyai seorang sahabat kaum selawan yang sama-sama bergulat dengan perjuangan menyudahkan tesis Ijazah Doktor Falsafah; kami sama-sama berkongsi keresahan, sama-sama berkongsi tawa, sama-sama berkongsi amarah, sama-sama berkongsi gembira dan yang paling utama sama-sama menebarkan semangat yang membuatkan sukma masing-masing bernada bahagia. sementelah pula kala itu masing-masing tidak terikat dengan mana-mana perjanjian dengan manusia istimewa, maksudnya kedua-duanya masih solo, maka kami bebas untuk menghubungi antara satu sama lain tanpa mengira masa dan suasana. talian telefonlah yang menjadi nadi penghubung antara kami; pernah suatu ketika perbualan kami merebak sehingga dinihari dengan pelbagai cerita yang menggugah rasa. oh, kenangan, mana mungkin pengalaman sebegitu akan muncul semula kerana saya tahu akhlak mulia seorang isteri tidak wajar melayani sapaan selain suaminya sendiri. dan moga sahaja Allah Ya Rahman Ya Rahim tidak menduga ikatan perkahwinan saya sehingga memaksa diri mengalih perhatian kepada orang lain selain suami yang dinikahi.
setelah melewati penghujung bulan keempat, baharu saya mengukuhkan kekuatan untuk memulakan kerja-kerja penyelidikan sabatikal ini. moga perancangan untuk menyempurnakan tajuk "Proses Kreatif Pengarang Muslimah Nusantara" akan terhasil walaupun saya baharu sahaja dapat menghubungi beberapa orang tokoh untuk diwawancara, pun saya berharap kerja penyelidikan yang diwajibkan sepanjang cuti sabatikal ini berjalan lancar. Allah al-Wali (Yang Maha Melindungi), al-Tawwab (Yang Maha Penerima Taubat), al-Ra'uf (Yang Maha Pelimpah Kasih), al-Mughni (Yang Maha Pemberi Kekayaan) dan al-Qawi (Yang Maha Kuat), bantu hamba-Mu, loronglah saya menjadi khalifah-Mu yang teguh jiwa, dapat mengusir gelora yang membadai sukma.
sebagaimana firman Allah menerusi Surah Ali Imran, Ayat 29 yang bermaksud: "Apabila kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu ataupun kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui", moga sahaja sukma manusia di atas muka bumi ini sentiasa dilimpahi ketenangan yang berpanjangan!
Kay,
ReplyDeleteBeruntung benar kau kerana kedua orang tuamu (dan juga adik serta alongmu) sentiasa di sisi kala susah-senang. Itulah nikmat sebenarnya bila Allah 'menjaga' kita dengan menghantar manusia yang baik-baik dan tulus kasih sayangnya untuk berada di sekeliling kehidupan kita. Moga kau tetap tenang dalam mengurusi masa dan tugasan .. insyaAllah ada senggang kita bersua lagi sahabat! Aku juga libang-libu di kala ini! Begitu hebat rasanya ujian penulisan ini .. macam-macam hal dan karenah SV yang terpaksa aku ladeni ..