kalau ada yang bertanya, bagaimana saya dapat melunaskan banyak perkara dalam tempoh bergelut dengan ragam anak-anak dan keluarga, kemelut dengan tugasan di pejabat, memenuhi undangan sebagai penilai sastera daripada pelbagai agensi luar dan pelbagai seliratan masalah yang melingkari diri, oh, saya hanya melemparkan senyum sahaja. pun, dalam diri, Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui bahawa semua perkara yang saya lalui, sesungguhnya tanpa Dia Yang Merestui, tanpa sokongan daripada suami dan doa tulus daripada emak dan ayah, tentu saya tidak ke mana-mana. saya mengakui saya punya cita-cita yang besar dalam jiwa, sejak di bangku sekolah, merebak ke peringkat universiti. musabab itu barangkali novel pertama saya, Takdir Bukan Hukuman diterbitkan kala saya baharu sahaja mencecah usia 19 tahun. dibesarkan dalam keluarga kecil (saya anak perempuan tunggal daripada tiga orang adik beradik yang begitu diperhati dan diekori oleh keluarga sejak kecil) sebenarnya sentiasa diberi cabaran oleh abang sulung dan adik bongsu. lantaran saya tidak pernah menjadi penghuni sekolah berasrama penuh berbanding kedua-dua abang dan adik, maka saya memiliki jiwa berani dan penuh bara setiap masa. sementelah pabila bergelar pengarang kreatif, hasrat dan cita-cita sentiasa bernyala.
saya sehingga hari ini masih menyimpan rasa terkilan dalam dada kerana tidak dapat menyempurnakan novel keenam, Kamil Yang Hakiki yang setelah hampir sepuluh tahun terbengkalai dalam simpanan. dek kerana saya terlibat sebagai Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil sejak tahun 2002-2006, mengundur diri pada tahun 2007-2008 kerana melahirkan Kamila dan diundang semula pada tahun 2009-2011, tumpuan kerja saya banyak diperuntukkan menilai karya orang lain. keinginan untuk melihat novel sendiri dilunasi dan diterbitkan hanya tinggal cita-cita. sementelah sebagai pensyarah sastera dan penulisan kreatif di kampus, saya turut dibebani dengan meneliti karya-karya mahasiswa. justeru, saya tidak punya masa yang ampuh untuk mengendalikan masa antara tuntutan kerjaya dan kehendak cita-cita. belum lagi bila diri dihambat dengan deadline kerja (menilai) yang datang daripada pelbagai sumber sama ada di pejabat atau dari institusi lainnya tentang dunia persuratan Melayu tanahair.
memang pena penulisan saya tidak pernah padam dalam diri walau dihambat oleh kekangan demi kekangan. tambahan pula bila satu persatu cerpen yang saya nukilkan tersiar di majalah Dewan Sastera beberapa tahun kebelakangan ini makin membuatkan diri teruja. musabab itu, peluang cuti sabatikal ini saya manfaat sungguh-sungguh. tidak dapat tidak, dua buah buku saya akan diterbitkan pada tahun ini walaupun bukan novel "Kamil Yang Hakiki" menemui khalayaknya. saya kini dalam debar menanti dua buah buku, "Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif" dan "Catatan Cinta Anakanda Bonda" dalam proses penilaian dengan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA) untuk dihadiahkan kepada diri sendiri setelah bertungkus lumus menyelesaikan banyak perkara dalam tempoh beberapa tahun ini. terima kasih paling utama tentulah buat suami yang sentiasa di sisi (tempat berkongsi pelbagai kisah suka duka, tawa hiba), anak-anak yang keletah (tempat menghumbankan segala resah dan gusar di tempat kerja kala melihat rautnya yang comel) dan doa restu nan tulus daripada emak dan ayah yang sentiasa menyokong segala tindakan saya dalam menggapai jaya. ya Rabb, sesungguhnya saya bersyukur dengan kehadiran mereka dalam hidup ini, tanpa mereka tentu saya tidak ke mana-mana.
di sela-sela menguruskan penyelidikan dan kajian terhadap kerja-kerja sabatikal, saya juga menyimpan hasrat untuk menerbitkan dua buah buku khusus untuk kelompok wanita tanahair; "Kisah Menarik dari Kampus" dan "Antara Dunia Ilmiah dan Dunia Rumah" yang menghimpunkan 10 orang pengarang yang kesemuanya terdiri daripada pensyarah di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan matlamat sebagai ibrah kepada khalayak yang hauskan inspirasi dan motivasi dalam pergelutan kehidupan. moga impian ini terlaksana dan saya fikir ini merupakan hadiah yang bermakna buat seluruh warga kampus terutamanya golongan hawa yang sering diselimuti pelbagai masalah demi masalah yang kekadang meruntuhkan sebuah kekuatan.
ya, masa yang pantas berganti, moga kita semua sentiasa dirahmati Ilahi!
No comments:
Post a Comment