Monday, April 30, 2012

tentang saya dan sekitar MASTERA

tanggal 24-27 April 2012, mesyuarat MASTERA tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam selamat dijalankan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. alhamdulillah, majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Awang Sariyan yang sentiasa melemparkan senyuman kemesraan. sepanjang mesyuarat, banyak perkara yang dibincangkan atas nama perkembangan persuratan Melayu serantau, dan saya merasa amat bertuah kerana sama-sama duduk mendengar, meneliti dan sesekali "bersuara". ini pengalaman yang amat bermakna dan mendewasakan. paling utama dapat menjalinkan silaturahim antara perwakilan mesyuarat yang tentunya meninggalkan kenangan yang begitu bererti. insya Allah, Persidangan MASTERA serentak dengan Seminar Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) akan diadakan pada Oktober 2012. seloroh Dr. Mu'jizah, ketua delegasi Indonesia "kala itu, baby udah keluar, dan udah berusia 2 bulan", dan saya tersenyum mengurut perut yang makin membesar. ya Rabb, sihatkanlah anak dalam kandungan ini dan berikanlah kekuatan untuk saya menjalani lingkungan hidup ini!

Sunday, April 22, 2012

tentang saya dan MASTERA

kala menerima surat pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa Mastera Malaysia pada bulan Februari yang lalu, saya terkejut bukan kepalang. hati tertanya, saya terpilih dalam kalangan ramai sarjana sastera tanahair? ya Rabb, rezekikah ini? tidak pernah saya menjangkakannya. ya, inilah ruang dan rezeki yang Allah anugerah untuk hamba-Nya yang tidak pernah menjangka bahawa hidup ini ada sisi-sisi pemberiannya yang diambil semula, dan ada pemberiannya yang dianugerah tanpa diduga. begitu yang terjadi pada diri dalam waktu terdekat ini; saya dilantik ke dalam Jawatankuasa MASTERA, dan nama saya tercicir pula daripada senarai Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil (HSKU). dan saya menerima kedua-dua pemberian dan penarikan daripada Ya Rahman Ya Rahim ini dengan lapang dada.
apakah MASTERA? saya pernah mendengar perkataan ini daripada pembacaan sementelah pula saya mengajar subjek "Kesusasteraan Bandingan" di kampus yang memperlihatkan peri pentingnya ia dalam perkembangan sastera nusantara. MASTERA merupakan singkatan untuk "Majlis Sastera Asia Tenggara" atau "Southeast Asia Literary Council" yang menggabungkan keahlian negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam dalam soal sastera. Malah, pada tahun ini, Singapura juga akan turut serta. menurut catatan sejarah, MASTERA ditubuhkan pada tahun 1995 hasil daripada perbincangan dan persetujuan tiga buah negara perintis, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. selain itu, saya juga mengetahui sedikit banyak tentang MASTERA ini menerusi sahabat akademik di Jabatan Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin yang merupakan ahli Jawatankuasa selama 5 tahun lamanya yang banyak pengalaman dalam "menjual" sastera Malaysia ke peringkat serantau. maka saya bagaimana pula?
memang ini satu amanah besar yang harus disandang tatkala saya melihat peranan MASTERA. bukan calang-calang ahli yang berada dalam lingkungan Jawatankuasa MASTERA kerana tanggungjawabnya bukan sekadar menghadiri mesyuarat bahkan bersuara bagi pihak perkembangan sastera nusantara. oh, mampukah saya? pun, saya selalu membisikkan ungkapan positif dalam diri saat gusar bertamu: "ini peluang, rebutlah ia. tidak semua orang berpeluang memperolehnya. ini amanah, tunaikan ia. tidak semua orang diberi amanah yang sama." dan yang paling penting, saya juga memohon restu emak dan ayah agar mendoakan kekuatan saya bersuara bagi pihak negara, Malaysia demi pembangunan sastera tercinta. selain itu, saya melihat pelantikan ini juga turut tersembunyi hikmah Allah yang tersendiri kerana saya kini dalam cuti sabatikal dan sedang melakukan kajian penyelidikan dengan tajuk "Proses Kreatif Pengarang Muslimah Nusantara" sejajar dengan pengetahuan dan penglibatan dalam MASTERA, syukur pada-Mu ya Rabb!
kisah lain di sebalik pelantikan ini tentulah mengimbau kenangan saya lima tahun yang lalu bahawa saya pernah menerima tawaran menyertai Himpunan Penulis anjuran MASTERA di Bogor, Indonesia pada tahun 2007 dalam genre novel (setiap negara menghantar 4 orang wakil yang menulis dalam genre novel). sayang sekali saya tidak dapat ikut serta kerana kala itu mengandungkan anak sulung, Zahra Kamila. dek kerana tidak dapat menghadirkan diri, saya terpaksa membuat surat tunjuk sebab lantaran nama saya sudah berada di peringkat atasan (Ketua Pengarah). dalam rasa hiba dan terkilan kerana hasrat saya untuk ke Bogor sudah lama, akhirnya tidak kecapaian pula pabila sudah ada ruang, saya dipujuk oleh orang kuat MASTERA waktu itu, Puan Hajah Zaiton Ajamain: "Tak apa Dr tak pergi sebagai peserta, insya Allah suatu masa nanti Dr Akan pergi sebagai fasilitator". aduhai, begitu harapan yang diberikan oleh Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka ini terhadap saya yang membuatkan saya sebak dan terharu.
maka hari ini, saya diberi peluang dan ruang dalam MASTERA dengan izin-Nya. terima kasih ya Allah ya Ghaffar ya Qahhar. moga saya diberi kekuatan untuk berdepan dengan "orang kuat MASTERA" Indonesia dan Brunei dan kemasukan baharu, Singapura. barangkali pengalaman akan mematangkan seseorang, dan begitu yang saya harapkan daripada pengalaman yang bakal saya kutip sepanjang berada dalam ahli Jawatankuasa MASTERA ini. 24-26 April 2012, MASTERA peringkat nusantara akan bersidang dan saya tidak terkecuali menyertainya setelah bermesyuarat peringkat Malaysia buat kali yang pertama untuk sesi 2012 pada 19 April yang lalu.
saya tidak sabar menunggu detik mengenali kerabat MASTERA dari negara jiran, Indonesia, Brunei dan Singapura bertandang, ya Rabb mudahkan semua urusan demi pembangunan sastera nusantara!  

tentang saya dan gelora sukma

apalagi yang boleh saya lakukan sepanjang cuti panjang, cuti penyelidikan, cuti sabatikal ini selain menghadap komputer, membaca dan menonton, selain melayan kerenah anak-anak di sisi? sesungguhnya melunasi cuti sabatikal yang diperuntukkan selama sembilan bulan andai tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, pasti banyak kerja-kerja penyelidikan akan tertangguh. sejak memulakan cuti pada 1 Februari 2012 yang lalu, saya sebenarnya tidak banyak melakukan usaha yang drastik tentang penyelidikan yang telah dirancang, sebaliknya memberi laluan kepada kerja-kerja lain terlebih dahulu. misalnya saya banyak menghabiskan masa menguruskan dua buah manuskrip buku yang telah dihantar kepada ITBM, melakukan penilaian terhadap satu jurnal di UMS, membaca sebuah manuskrip puisi untuk penilaian penerbitan, menilai beberapa buah cerpen untuk Pertandingan Cerpen PRESTIJ UPM, merancang beberapa buah buku bersama (proposal), dan membaca sejumlah novel untuk penilaian sebuah hadiah peringkat Malaysia. oh, tersusun penuh jadual kerja saya yang tentunya menguji ketabahan diri di celah-celah mengejar masa untuk memulakan kajian terhadap penyelidikan sabatikal ini. alhamdulillah, kesemua kerja-kerja tersebut telah pun usai dan saya berjaya menarik nafas lega.
 
ada dua manuskrip yang tiba kala saya berada di kampung halaman tempohari. kedua-duanya tebal dan memerlukan penelitian yang bukan kepalang. oh, saya kekadang mahu memuntahkan segala keluhan yang tertanggung di bahu pada seseorang tetapi sudikah mereka mendengarnya? sejak cuti dari menjengah kampus seperti lazimnya, saya mengakui bahawa saya tidak punya sahabat untuk berkongsi cerita, apatah lagi telinga untuk saya halakan segala pendaman emosi yang bersarang tentang dunia ilmiah yang saya harung. teringat waktu saya masih bujang, saya mempunyai seorang sahabat kaum selawan yang sama-sama bergulat dengan perjuangan menyudahkan tesis Ijazah Doktor Falsafah; kami sama-sama berkongsi keresahan, sama-sama berkongsi tawa, sama-sama berkongsi amarah, sama-sama berkongsi gembira dan yang paling utama sama-sama menebarkan semangat yang membuatkan sukma masing-masing bernada bahagia. sementelah pula kala itu masing-masing tidak terikat dengan mana-mana perjanjian dengan manusia istimewa, maksudnya kedua-duanya masih solo, maka kami bebas untuk menghubungi antara satu sama lain tanpa mengira masa dan suasana. talian telefonlah yang menjadi nadi penghubung antara kami; pernah suatu ketika perbualan kami merebak sehingga dinihari dengan pelbagai cerita yang menggugah rasa. oh, kenangan, mana mungkin pengalaman sebegitu akan muncul semula kerana saya tahu akhlak mulia seorang isteri tidak wajar melayani sapaan selain suaminya sendiri. dan moga sahaja Allah Ya Rahman Ya Rahim tidak menduga ikatan perkahwinan saya sehingga memaksa diri mengalih perhatian kepada orang lain selain suami yang dinikahi.
 
setelah melewati penghujung bulan keempat, baharu saya mengukuhkan kekuatan untuk memulakan kerja-kerja penyelidikan sabatikal ini. moga perancangan untuk menyempurnakan tajuk "Proses Kreatif Pengarang Muslimah Nusantara" akan terhasil walaupun saya baharu sahaja dapat menghubungi beberapa orang tokoh untuk diwawancara, pun saya berharap kerja penyelidikan yang diwajibkan sepanjang cuti sabatikal ini berjalan lancar. Allah al-Wali (Yang Maha Melindungi), al-Tawwab (Yang Maha Penerima Taubat), al-Ra'uf (Yang Maha Pelimpah Kasih), al-Mughni (Yang Maha Pemberi Kekayaan) dan al-Qawi (Yang Maha Kuat), bantu hamba-Mu, loronglah saya menjadi khalifah-Mu yang teguh jiwa, dapat mengusir gelora yang membadai sukma.
 
sebagaimana firman Allah menerusi Surah Ali Imran, Ayat 29 yang bermaksud: "Apabila kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu ataupun kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui", moga sahaja sukma manusia di atas muka bumi ini sentiasa dilimpahi ketenangan yang berpanjangan!

Saturday, April 21, 2012

tentang saya dan makanan jiwa

antara makanan yang rutin masuk ke dalam mulut manusia dengan makanan jiwa, tentunya mempunyai perbezaan yang cukup ketara. memang untuk meneruskan kelangsungan hidup, manusia memerlukan makanan ruji seperti nasi atau roti atau apa sahaja masakan yang enak yang disukai masing-masing. pun, sedarkah manusia bahawa makanan jiwa perlu bergandingan masuk ke dalam badan sebagaimana makanan lainnya. cuba perhatikan seseorang itu sihat walafiat daripada segi fizikalnya (tumbesaran badannya masya Allah sehingga kekadang menjadi obesiti), tetapi dia miskin daripada segi makanan jiwa. hidupnya tidak tenteram, fikirannya serabut, mindanya celaru dan segala tindak tanduknya juga mengelirukan. dia selalu diberikan makanan rutin tetapi tidak disumbat dengan makanan jiwa ke dalam dirinya.
 
apa itu makanan jiwa? ia sudah pastilah tentang segala macam perkara-perkara positif yang berupa motivasi, semangat, inspirasi, kata-kata perangsang, nasihat dan sebagainya yang boleh memberikan kekuatan kepada seseorang untuk meneruskan kehidupan andai dilambung dengan pelbagai permasalahan dalam mengharung perjalanan di muka bumi ini. makanan jiwa yang bagaimana bentuknya? ia tentulah tentang ucapan yang baik, ungkapan yang manis dan berhemah, tutur kata yang menyenangkan, dorongan yang menghiburkan, nasihat yang melegakan dan lain-lain kata-kata yang membuatkan sipenerima bertambah inspirasi dan motivasi dalam melaksanakan misi dan visi sehariannya.

misal sahaja seseorang itu ditimpa kesakitan seperti demam, tentu sahaja pesakit perlukan perhatian secara total daripada orang sekelilingnya. kata-kata seperti "dah makan ubat?", "bagaimana hari ini? ada kurang sikit sakit?" "rehatlah" dan sebagainya yang sekurang-kurangnya dapat meredakan kesakitan yang ditanggung. itu baharu contoh demam, apalagi kalau seseorang itu diserang penyakit teruk? tentu sahaja kata-kata rangsangan yang padu dikehendaki oleh manusia di persekitarannya terutama ahli kelaurganya. bagi yang sudah berkeluarga, tentu sahaja sokongan suami amat diperlukan selain perhatian daripada anak-anak. begitu juga tatkala seseorang itu ditimpa kesedihan mendepani sesuatu permasalahan sama ada di tempat kerja atau personal sifatnya, sudah pasti kata-kata semangat dan nasihat daripada ahli keluarga amat bermakna. apa akan terjadi andai orang di luar lingkungan keluarga, kekasih lama misalnya yang datang menabur perangsang dan melemparkan madah manis? tentu sahaja bagi wanita yang kehausan kasih-sayang suami akan tergoda dengan ungkapan yang diterima, dan yang ruginya siapa? tentulah sang suami yang tidak tahu mengendalikan perasaan halusnya sang isteri yang memerlukan perhatian dan sokongan dalam rumahtangga. lantaran kebodohan dalam menguruskan hubungan suami-isterilah yang menyebabkan banyak rumahtangga pincang menanti rebah. 
 
dek kerana hal-hal kecil yang melibatkan makanan jiwa yang seharusnya disuntik setiap masa tetapi tidak dipedulikan dan dianggap enteng, maka setelah lima atau sepuluh tahun mendirikan mahligai perkahwinan, semuanya hancur berkecai. diketahui umum bahawa seorang wanita apabila berumahtangga dan bergelar isteri, kehendaknya hanya satu: sokongan dan dorongan daripada suami. kesetiaan para isteri terhadap rumahtangga yang dibina walaupun tanpa rasa cinta pada awalnya pada sang suami, tetapi apabila sudah dikurniakan deretan anakk-anak, pasti seluruh jiwa dan raganya diperhambakan kepada keluarga, suami dan anak. berbanding sang suami walau sudah sepuluh atau dua puluh tahun berkahwin, sikap ego dan lagak masih tekal memayungi diri lantaran tidak prihatin terhadap keperluan dan kehendak sang isteri. malahan ada segelintirnya pula yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersama-sama kawan-kawannya berbanding menguruskan kenikmatan bersama anak-anak dan yang lebih utama bersama isteri. mengikut kajian, hanya beberapa peratus sahaja para suami yang bersedia untuk sama-sama menanggung kesusahan bersama para isteri malah bersama anak-anak. contoh paling ketara, saat isteri menghamilkan anak pertama, layanan yang diberikan oleh sang suami memang terbaik, ia akan menurun kala anak kedua, dan makin menurun pabila anak ketiga. layanan yang diberikan tentunya tidak sama dan jarang para isteri menerima layanan yang setara dalam proses menghamilkan anak-anaknya. ya Rabb!

musabab itu makanan jiwa amat penting dalam sebuah kerukunan rumah tangga. lebih-lebih lagi kala salah seorangnya dilanda musibah dan kesakitan, makanan jiwa menjadi makanan utama melebihi makanan rutin yang dihidangkan di bawah tudung saji. kata-kata seperti "sayang", "sabarlah", "tenang", "senyumlah", "kekasih",  atau sekurang-kurangnya "take care", itu sudah memadai. beruntunglah para isteri yang sentiasa mendapat perhatian daripada para suami yang sememangnya prihatian terhadap keperluan dan kehendak wanita yang telah bersusah payah mengandungkan zuriatnya. tentu sekali rugilah para isteri yang hidupnya disulami air mata dek kerana penangan para suami yang bodoh-bangang dalam memahami perasaan halusnya seorang wanita yang mengkehendaki perhatian dan belaian setiap masa lebih-lebih lagi memiliki kerjaya yang hebat di luar rumah tetapi kecundang jiwanya di dalam rumah. maka, jangan dipersalahkan sang isteri jika terpaksa melayan ungkapan indah daripada seseorang khususnya kekasih lama yang masih tekal dalam ingatan dan kenangan.

justeru  kerana peri pentingnya makanan jiwa dalam kehidupan seseorang, berikanlah ia kepada yang memerlukannya. dan saya? siapa yang sering memberikan makanan jiwa? tentulah emak dan ayah yang telah mewujudkan saya ke muka bumi ini yang tidak pernah sesaat pun melupakan doa tulusnya untuk keberkatan dan kebahagiaan saya dalam melakarkan kejayaan. sejak ditimpa penyakit misteri sepuluh tahun yang lalu yang menyebabkan saya lewat mendirikan rumah tangga dan bertungkus lumus menyudahi pengajian Ijazah Doktor Falsafah, hanya emak dan ayah yang sudi setia berada di sisi, sabar menangani penyakit saya dan terus-terusan mendoakan kesejahteraan buat saya sehingga akhirnya saya berjaya seperti hari ini. maka, dalam hidup ini selain anak-anak, emak dan ayahlah makanan jiwa saya yang paling bererti dan amat bermakna.

anda bagaimana? carilah makanan jiwa menerusi al-Qur'an sekiranya sukar memperoleh makanan jiwa daripada manusia kerana kalamullah itu sentiasa menawarkan makanan jiwa yang paling agung dalam hidup hamba-Nya!

Monday, April 16, 2012

tentang saya dan cita-cita

kalau ada yang bertanya, bagaimana saya dapat melunaskan banyak perkara dalam tempoh bergelut dengan ragam anak-anak dan keluarga, kemelut dengan tugasan di pejabat, memenuhi undangan sebagai penilai sastera daripada pelbagai agensi luar dan pelbagai seliratan masalah yang melingkari diri, oh, saya hanya melemparkan senyum sahaja. pun, dalam diri, Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui bahawa semua perkara yang saya lalui, sesungguhnya tanpa Dia Yang Merestui, tanpa sokongan daripada suami dan doa tulus daripada emak dan ayah, tentu saya tidak ke mana-mana. saya mengakui saya punya cita-cita yang besar dalam jiwa, sejak di bangku sekolah, merebak ke peringkat universiti. musabab itu barangkali novel pertama saya, Takdir Bukan Hukuman diterbitkan kala saya baharu sahaja mencecah usia 19 tahun. dibesarkan dalam keluarga kecil (saya anak perempuan tunggal daripada tiga orang adik beradik yang begitu diperhati dan diekori oleh keluarga sejak kecil) sebenarnya sentiasa diberi cabaran oleh abang sulung dan adik bongsu. lantaran saya tidak pernah menjadi penghuni sekolah berasrama penuh berbanding kedua-dua abang dan adik, maka saya memiliki jiwa berani dan penuh bara setiap masa. sementelah pabila bergelar pengarang kreatif, hasrat dan cita-cita sentiasa bernyala.

saya sehingga hari ini masih menyimpan rasa terkilan dalam dada kerana tidak dapat menyempurnakan novel keenam, Kamil Yang Hakiki yang setelah hampir sepuluh tahun terbengkalai dalam simpanan. dek kerana saya terlibat sebagai Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil sejak tahun 2002-2006, mengundur diri pada tahun 2007-2008 kerana  melahirkan Kamila dan diundang semula pada tahun 2009-2011, tumpuan kerja saya banyak diperuntukkan menilai karya orang lain. keinginan untuk melihat novel sendiri dilunasi dan diterbitkan hanya tinggal cita-cita. sementelah sebagai pensyarah sastera dan penulisan kreatif di kampus, saya turut dibebani dengan meneliti karya-karya mahasiswa. justeru, saya tidak punya masa yang ampuh untuk mengendalikan masa antara tuntutan kerjaya dan kehendak cita-cita. belum lagi bila diri dihambat dengan deadline kerja (menilai) yang datang daripada pelbagai sumber sama ada  di pejabat atau dari institusi lainnya tentang dunia persuratan Melayu tanahair. 

memang pena penulisan saya tidak pernah padam dalam diri walau dihambat oleh kekangan demi kekangan. tambahan pula bila satu persatu cerpen yang saya nukilkan tersiar di majalah Dewan Sastera beberapa tahun kebelakangan ini makin membuatkan diri teruja. musabab itu, peluang cuti sabatikal ini saya manfaat sungguh-sungguh. tidak dapat tidak, dua buah buku saya akan diterbitkan pada tahun ini walaupun bukan novel "Kamil Yang Hakiki" menemui khalayaknya. saya kini dalam debar menanti dua buah buku, "Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif" dan "Catatan Cinta Anakanda Bonda" dalam proses penilaian dengan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA) untuk dihadiahkan kepada diri sendiri setelah bertungkus lumus menyelesaikan banyak perkara dalam tempoh beberapa tahun ini. terima kasih paling utama tentulah buat suami yang sentiasa di sisi (tempat berkongsi pelbagai kisah suka duka, tawa hiba), anak-anak yang keletah (tempat menghumbankan segala resah dan gusar di tempat kerja kala melihat rautnya yang comel) dan doa restu nan tulus daripada emak dan ayah yang sentiasa menyokong segala tindakan saya dalam menggapai jaya. ya Rabb, sesungguhnya saya bersyukur dengan kehadiran mereka dalam hidup ini, tanpa mereka tentu saya tidak ke mana-mana.

di sela-sela menguruskan penyelidikan dan kajian terhadap kerja-kerja sabatikal, saya juga menyimpan hasrat untuk menerbitkan dua buah buku khusus untuk kelompok wanita tanahair; "Kisah Menarik dari Kampus" dan "Antara Dunia Ilmiah dan Dunia Rumah" yang menghimpunkan 10 orang pengarang yang kesemuanya terdiri daripada pensyarah di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan matlamat sebagai ibrah kepada khalayak yang hauskan inspirasi dan motivasi dalam pergelutan kehidupan. moga impian ini terlaksana dan saya fikir ini merupakan hadiah yang bermakna buat seluruh warga kampus terutamanya golongan hawa yang sering diselimuti pelbagai masalah demi masalah yang kekadang meruntuhkan sebuah kekuatan.

ya, masa yang pantas berganti, moga kita semua sentiasa dirahmati Ilahi!

Friday, April 13, 2012

tentang saya dan sahabat lama

kata orang, barang lama amat bermakna, lihat sahaja, barangan klasik yang ditinggalkan nenek moyang, tentu harganya mencecah jutaan. begitu juga dalam persahabatan, sejauh mana kita melangkah, sejauh mana seseorang meninggalkan alam kanak-kanaknya, kenangan yang terbina di usia masih pucuk tetap tidak akan terlupakan. begitu yang telah saya lalui dengan sahabat seorang ini, Fariza namanya. sehingga kini, persahabatan kami tetap utuh walau ditelan masa dan diburu usia. walaupun kekadang kami lama menyepi lantaran dikekang dengan pelbagai seliratan permasalahan kehidupan, pun, ingatan masing-masing terhadap manisnya persahabatan memang tidak pernah padam, dan tetap kekal jauh dalam lubuk perasaan.
perkenalan kami berputik kala di alam persekolahan rendah. ketika itu masing-masing baharu sahaja berpindah ke sekolah baharu, Sekolah Kebangsaan Binjai. saya dari Sekolah Kebangsaan Chukai, manakala dia dari Sekolah Kebangsaan Padang Kubu. kami masing-masing ditempatkan di kelas yang sama, Darjah 4A. berkebetulan pula sama-sama berambut panjang dan sama-sama juga merupakan anak guru. lantaran kami orang baharu dan agak janggal dengan persekitaran yang asing, persahabatan kami menjadi lekas akrab. paling menguja, kami senang bercerita kisah sekolah lama yang kami tinggalkan. dan saya tentu sahaja mengimbau kenangan masuk sekolah kala usia masih enam tahun di darjah satu (1 Merah) atau dipanggil "sekolah tumpang" kerana berkebetulan juga emak, Cikgu Sa'adiah mengajar di sekolah tersebut dan menumpangkan anaknya ini di darjah satu walhal usia saya belum pun mencecah 7 tahun. nama-nama seperti Nazri, Wan Hairil, Kamil, Razana, dan lain-lain begitu membugar dalam diri, dan dia tentu sahaja membariskan nama-nama seperti Henzy, dan sebagainya untuk kami sama-sama kongsikan kisah di sekolah lama.


yang paling meninggalkan manisnya kenangan tentulah ketika kami sama-sama meraih tempat pertama dalam peperiksaan dalam darjah 4A tersebut yang selama ini dimonopoli oleh beberapa nama seperti Norzalina, Hishamuddin dan Rohana. dan selepas itu kami dilantik menjadi pengawas sekolah sehingga akhirnya semasa darjah enam, Fariza dinobatkan pula sebagai Ketua Pengawas. ini merupakan pencapaian yang membanggakan buat saya kerana tempiasnya yang mula terkenal seluruh sekolah juga menerpa diri, malahan kami menubuhkan pula sebuah kumpulan yang dinamakan "Blackcat" yang dianggotai saya, dia dan Azizawati. bayangkan, bila tiga sahabat pengawas yang masing-masing berkebetulan mempunyai tiga orang adik-beradik, yang mempunyai aliran sefahaman dalam misi dan cita-cita dicemburui pula oleh kawan-kawan sepersekolahan. duh! saya, Fariza dan Azizawati begitu mengecap indahnya persahabatan dalam menggalur alam kanak-kanak yang menginjak remaja, yang sehingga kini jika diselak, pasti membuatkan tawa kami bergema membelah awan.


barangkali jika dikarang sebuah kisah, pasti muncul sebuah novel antara kami, begitu saya sering membayangkan. sementelah pula pada suatu ketika saya dan Fariza kerap berutus berita menerusi surat dan juga kad-kad ucapan. pernah suatu ketika surat kami mencecah bungkusan besar, tetapi dek kerana tuntutan masa, segala himpunan surat tersebut hilang  entah ke mana. pun, saya masih menyelongkar kad-kad yang dikiriminya kerana saya pernah meletakkannya di suatu tempat lain. andai dihitung perjalanan persahabatan yang terbina antara saya dengan Fariza ini, memang tidak berkesudahan. riwayat persahabatan ini cukup mengingatkan kami tentang sejauh mana kaki kami melangkah, sejauh itu juga relung ingatan kami terhadap indah pertemuan dan bongkah kesabaran yang dipasakkan bersama. 


pertemuan tanggal 9 April 2011 yang lalu mencipta suatu lagi sejarah, setelah setahun tidak bersua melakar kisah, kami dalam tempoh dua jam itu berusaha membentang apa sahaja masalah, malah berikhtiar pula menebarkan semangat dan segerombolan ibrah. doa saya sahabat nan seorang ini tetap dianugerah kesabaran demi ketabahan dalam mengharung sarat cabaran kehidupan. moga impiannya untuk mengenggam Ijazah Doktor Falfasah dipermudahkan jalan kerana sememangnya saya tahu siapa seorang Fariza sejak di alam sekolah rendah lagi, apatah lagi maklum kejayaan besarnya di kampus Lembah Pantai sebagai pelajar terbaik. kami banyak berkongsi warna-warna kehidupan yang rencam dengan suka dan duka, dengan hiba dan tawa yang sesungguhnya saya yakin setelah masing-masing diuji, Allah Ya Rahman Ya Rahim akan menghadiahkan bongkah kemenangan yang tiada tara. Fariza sahabatku, percayalah suatu masa kau akan tersenyum manis mengenang segala ujian yang mengiringi langkah perjalanan memburu cita-cita merupakan kekuatan yang sebenar sebagai hamba-Nya. dan saat itu juga, kau akan berterima kasih dengan segala perih yang diharungi, dan kita akan berkisah lagi, tunggu masa itu yang bakal mengiringi!

 

Wednesday, April 11, 2012

tentang saya dan sahabat kota singa


dia sahabat saya yang sudah terlalu lama tidak bertemu. sejak kami bergraduat untuk ijazah sarjana muda sastera pada tahun 1998, dia sudah tidak saya jumpa. malah setelah kampus Lembah Pantai kami tinggalkan, memang tidak diizinkan khabar berita yang bertamu. pun, seingat saya semasa saya menyempurnakan Ijazah Doktor Falsafah (2001-2005), pada peringkat awalnya, dia pernah mengirimkan magnet fridge (pelekat peti sejuk) yang tertulis "singapura" kepada saya menerusi sahabat yang sama menyambung pengajian kedoktoran, Haliza Abd. Rahman (kini Prof. Madya Dr. Haliza yang berkhidmat di kampus USM Kubang Krian, Kota Bharu) semasa percutiannya ke kota Singa dan bertemu sahabat ini. bermakna, mereka berdua pasti membicarakan tentang saya, dan tentunya sahabat saya ini mengingati saya. pun, derk diburu kekangan dan masalah, saya tidak sempat berhubung dengannya, dan selepas itu, saya langsung tidak mendapat khabar daripadanya sehinggalah suatu ketika, sahabat penulis, Prof. Madya Dr. Mawar Safei (pensyarah UKM) memberitahu tentang kisah sahabat ini kerana mereka bertemu di Nanyang University. oh, dia sahabat saya, Ida Susila Suandi, warga kota Singa yang pernah sama-sama menimba ilmu di kampus Lembah Pantai khususnya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1994-1998) yang lalu.

dengan izinnya, tanggal Ahad, 8 April 2012, kami bersua di MPH Alamanda, Putrajaya. tanpa terduga, kala saya dan anak-anak mencari-cari buku yang sesuai untuk bacaan kami sekeluarga, nama saya dipanggil dari arah belakang. wah, saat menolehnya, alangkah terperanjatnya, dia sahabat saya, Ida Susila Suandi yang telah bertahun lamanya tidak bertemu. kami berdakapan erat dan masing-masing senyum yang tidak lekang daripada raut masing-masing. benar, saya merinduinya cukup lama lantaran kala kami di kampus dulu, hubungan persahabatan amat kukuh. dia yang saya panggil "kak Ida" lantaran usianya yang lebih tua daripada saya dan pengalamannya yang luas dalam dunia pendidikan (dia merupakan guru sekolah yang dihantar oleh kerajaan Singapura menyambung pengajian ke Universiti Malaya, dan hal ini sudah menjadi trend bagi warga kota singa yang akan mendalami subjek Bahasa Melayu). tambahan pula, kak Ida ini seorang sahabat yang tidak lokek dengan apa sahaja barangan dan paling utama, tentulah kebaikannya yang sering membelanja saya makan-makan sama ada di KFC, Macdonald dan lain-lain premis kedai makan sekitar Petaling Jaya dan Bangsar. malahan kenangan kala tahun kedua pengajian begitu menguja lantaran kami sama-sama ditempatkan dalam satu kumpulan penggambaraan drama "Sonanta" (skrip allahyarham Dr. Anuar Nor Arai) yang begitu mencabar. lebih kurang dua bulan kami "berkampung" dalam satu kumpulan dan "berjaga malam" di lokasi Kajang, Kuala Lumpur dan Bangsar untuk menjayakan penggambaran tersebut.

dan kenangan lain yang begitu meninggalkan makna yang besar buat saya tentulah kepercayaannya mengizinkan saya menumpang di apartmen Vista Angkasa ketika tahun ketiga pengajian lantaran kami diwajibkan melakukan praktikal di mana-mana industri penerbitan, penyiaran dan pengurusan. selama dua bulan saya dan beberapa sahabat satu pengajian, Jabatan Pengajian Media menumpang di rumahnya tanpa dikenakan apa-apa bayaran merupakan ingatan yang paling berharga buat saya yang menunjukkan dia begitu menghargai persahabatan dan memahami kesukaran kami sebagai pelajar yang sukar mendapatkan rumah sewa dan proses penyesuaian sebelum menamatkan pengajian.

dia, Ida Susila Suandi, sahabat saya yang begitu saya senangi bukan kerana latar belakangnya yang berada dan mewah dengan harta benda, pun kerana keprihatinannya dan keramahannya dalam menggalurkan persahabatan. tahniah buatmu sahabatku, Dr. Ida Susila Suandi yang telah menamatkan pengajian ijazah kedoktoran di Universiti Warwick, United Kingdom dan kini masih berkhidmat di sekolah di Singapura. saya mendoakan yang baik-baik sahaja buatmu sekeluarga dan moga ukhwah yang terbina ini berkekalan sehingga hujung usia, dan yang paling utama, moga diberikan izin-Nya kita bertemu semula!

Saturday, April 7, 2012

tentang saya dan topeng manusia

dalam dunia ini, banyak ditemui manusia dengan pelbagai sosok badan dan rupa malah dipakej dengan sifat dan sahsiah yang bermacam yang kesemuanya untuk membezakan golongan baik dengan golongan tidak baik. justeru, saya tidak terkecuali menemui kepelbagaian manusia ini sama ada di rumah, pejabat, atau di mana-mana saya melangkah. pada peringkat awal barangkali tidak ramai yang maklum tentang kewujudan topeng manusia kerana biasanya ia ditutup erat dan ketat. hanya orang-orang tertentu sahaja yang mengenali topeng manusia, itupun setelah banyak makan garam dan banyak kali pula dikecewakan. saya teringat kisah topeng manusia yang bukan sekadar wujud dalam ruang persekitaran di luar rumah, bahkan dalam rumah juga. ada topeng manusia yang terjadi dalam kalangan adik-beradik, sanak-saudara hatta dalam lingkungan rumahtangga. apa perasaan anda kala menemukan topeng manusia dalam rumah sendiri dan ia merupakan suami yang diberi rasa percaya dan taat setia yang tidak berbelah bahagi? apa tindakan yang perlu anda lakukan pabila mengetahui topeng manusia yang dipakai suami itu sudah lama bermaharajalela dalam ikatan suci?

punahnya sebuah rumahtangga hari ini bukan sekadar hilang pertimbangan manusiawi, bahkan musnahnya tentang kefahaman agamawi. ada dalam kalangan suami raut wajah bersalut indah dengan senyuman yang tidak pernah lekang malah tegar menebarkan semangat kala memerlukan selain tekun mendengar setiap rintih isteri, rupanya hanya topeng semata-semata. saya kala mengetahui rahsia sebegini, cepat sahaja tersentuh dan terluka. kasihan sang isteri yang tertipu dengan topeng manusia, bukan orang lain pun, bahkan suami sendiri yang dinikahi. mengapa perkara sebegini terjadi? adakah cinta yang dipahat dan kasih-sayang yang diukir sudah pudar setelah lama hidup bersama? mungkinkah rasa percaya yang dilakar dan taat setia yang dibugar sudah luntur setelah lama dibentuk bersama? ada dalangkah atas setiap kejadian? oho.
 
mengapa perlu topeng manusia? kata pepatah Melayu "talam dua muka", kata banyak orang "hipokrit", aduhai. luka yang ditopeng oleh manusia yang bernama suami atau keluarga terdekat akan lebih terasa berbanding dengan manusia yang dipanggil kawan atau kenalan biasa. barangkali inilah kehidupan. seorang isteri yang baik kekadang diuji dengan seorang suami yang memakai topeng di wajahnya. seorang sahabat yang mulia seringkali diduga dengan seorang hamba Allah yang membalut topeng di muka.

pernahkah anda mengalami situasi demikian? menemui topeng manusia di setiap perjalanan, dan terpaksa pula merempuh pengalaman pahit itu tanpa disedarinya? ayuh, jika anda bertemu topeng manusia, usah pedulikan ia, campakkan ia daripada saku, kemudian buang ia jauh-jauh daripada diri untuk lebih berwaspada dalam setiap masa, selain mohon bantuan Yang Maha Esa menyisihkan topeng manusia itu sesegeranya!

tentang saya dan mukabuku

mukabuku atau popular dalam kalangan masyarakat sebagai "facebook" begitu menjadi sebagai "makanan hati" ramai orang kini. manakan tidak, boleh dikatakan hampir semua warga Malaysia ada akaun "facebook" khususnya golongan muda, dan tidak kurang juga golongan tua turut terlibat sama memiliki mukabuku sebagai tempat saling berhubungan. malahan, andai ada dalam kalangan individu yang tidak mempunyai akaun "facebook" akan dikatakan kolot dan ketinggalan zaman. pun, dalam dunia yang serba canggih ini, saya fikir perkembangan teknologi ada pro dan kontranya. saya tidak fikir mukabuku akan mengundang petaka kepada pengguna andai digunakan dengan cara yang betul, pun "facebook" akan menjunam musibah kepada seseorang jika tidak tahu memilih jalan yang lurus. saya katakan begini berdasarkan pengalaman sendiri dan perkongsian pengkisahan sahabat-sahabat akrab. bagi pihak saya, memang saya mempunyai akaun mukabuku sudah lama, lebih kurang tiga tahun lamanya setelah diundang, diajak, digalak oleh kawan-kawan seputar dunia penulisan. pada peringkat awal, memang saya tidak gemar "bermukabuku" dengan memasukkan pelbagai maklumat, acara dan sebagainya yang begitu ketara di dinding (wall) masing-masing saban hari. agak lama juga saya mengambil masa untuk memesrai "facebook" lantaran saya fikir sebagai seorang pengarang kreatif dan pengkaji ilmiah, peri pentingnya mukabuku adalah untuk menyampaikan pesanan, maklumat, peringatan, jalinan ukhwah dan yang paling penting daripada itu dapat menyuburkan dakwah sebagai seorang Muslim.

lantaran saya memiliki ramai sahabat dalam lingkungan pengarang, maka tidak dapat tidak "facebook" amat penting daripada sisi mengetahui perkembangan persuratan melayu tanahair, malah sastera dunia jua. menerusi mukabuku, seseorang pengarang dapat menjalinkan persahabatan dan mempromosi buku baharu dengan lebih intim. berdasarkan "facebook", seseorang pengkaji ilmiah dapat mengetahui maklumat tentang pelbagai sumber rujukan dan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu dan bidang. dan saya tidak nafikan dengan menggunakan mukabuku, saya memperoleh ganjaran daripada sudut memaklumi pelbagai perkembangan tanahair dan dunia dalam banyak isu dan perkara yang sesungguhnya penting bagi seorang pengarang kreatif dan pengkaji ilmiah dan pensyarah universiti agar tidak menjadi seperti "katak di bawah tempurung"
 
namun, daripada sisi lain, mukabuku juga mengundang petaka apabila ada individu yang menyalahgunakannya untuk kepentingan hawa nafsu, bukan untuk tujuan ilmu. hal ini banyak terjadi kini apabila saya mendengar kisah angkara "facebook", banyak pasangan rumahtangga musnah. dek kerana mukabuku, ramai pengguna asyik mahsyuk depan komputer dan mengabaikan keluarga. lantaran "facebook", penipuan bermaharajalela berlaku. musabab mukabuku, manusia alpa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan Muslimah. pabila meneliti hal-hal begini, tentunya bagi saya sewajarnya mukabuku atau "facebook" diharamkan operasinya sebagaimana fatwa mufti di negara Arab Saudi lama dulu tentang impak menggunakan medan canggih dalam perkembangan teknologi kini yang sebenarnya bila disiasat secara terperinci merupakan janaan kumpulan Yahudi untuk melalaikan pengguna khasnya Muslim agar menjauhi agama. fuh!
 
kalau begitu, nampaknya agenda Yahudi berjaya menenggelamkan fikiran manusia khususnya orang Asia, bangsa Melayu, anutan Islam kerana ramai kini pengguna "facebook" hanyut dilambung mimpi pabila bertemu kekasih lama, seronok dibuai perasaan pabila disapa peminat lama, bahagia disihir kata-kata romantis pabila bersua teman lelaki baharu, oh, tragisnya. saya terkesan beberapa cerita angkara "facebook" ramai pasangan suami isteri hilang kepercayaan kepada sebuah kerukunan rumahtangga yang dibina bertahun lamanya. bayangkan dek kerana mukabuku, ada suami menipu isteri status akaun "facebook" yang dimilikinya kerana bimbang isteri mengetahui aktivitinya dengan kumpulan rangkaian "sahabat-sahabat mukabuku"nya. tak terjangka dek fikiran ada isteri yang berlaku curang terhadap suaminya apabila bertemu kekasih lama menerusi mukabuku dan sering bercanda di talian "facebook"nya. tak terduga dek akal ada pasangan suami dan isteri masing-masing membawa haluan sendiri dengan menyembunyikan atau merahsiakan status "facebook" tersendiri kerana  tidak mahu berkongsi cerita lama dan baharu dalam lingkungan kawan-kawan mukabuku yang dipunyai. oh, hibanya.

justeru "facebook" atau mukabuku adakah bermakna dalam diri kalian? bak kata pepatah Melayu "tepuk dada, tanya selera", pun, jangan lupa pesanan dalam Islam "selagi sesuatu perkara itu banyak mudarat daripada manfaat, maka tinggalkan ia", ayuh pembaca budiman, renung-renung dan fikir-fikirkan demi kemaslahatan agama, nusa, bangsa dan keluarga tercinta!
 
 

tentang saya dan lagu kegemaran

lagu yang menjadi igauan saya kini, yang begitu menusuk rasa, memang dalam dunia ini emak tiada galang gantinya, dan kerana cinta dan kasih-sayang emak, dunia bernyawa buat anak-anak, ayuh, kongsikan bersama "NUMBER ONE FOR ME", nyanyian MAHER ZAIN khususnya buat seluruh emak di dunia ini!

Thursday, April 5, 2012

tentang saya dan bumi Frankfurt

kalau tidak kerana peluang saya dapat membentangkan kertas kerja di Goethe Universitat, Germany mana mungkin saya akan sampai ke negara Jerman. lantaran penerimaan abstrak yang menepati tema penganjuran juga kertas kerja saya dapat disempurnakan dan dibentangkan di universiti terbabit. dan kerana ruang yang diberikan oleh Goethe Universiti khususnya Prof. Dr. Andt Graft yang fasih berbahasa Melayu menghadari seminar tersebut, saya juga berpeluang menjelajah ke beberapa buah negara Eropah lainnya (catatan tentang negara Switzerland, Holland, France dan United Kingdom akan saya lakarkan kemudian).

destinasi Frankfurt memang sudah lama terngiang di telinga, juga cukup terkenal dengan Pesta Bukunya setiap tahun. warga Malaysia yang terlibat dalam dunia pembukuan tentunya sudah ramai yang bertandang ke kota Frankfurt. "Merantau, Imagining Migration in The Malay World, International Seminar in Honour of Prof. E.U. Kratz" begitu bunyi tema seminar tersebut yang membuatkan delegasi Malaysia antara pembentang yang paling ramai mewakili Asia Tenggara. kampus Goethe-University of Frankfurt terletak di antara kampus Bockenheim (tengah) dan Kampus Westend (kanan), yang mengambil masa lebih kurang setengah jam perjalanan dengan kemudahan keretapi laju (tramways)  di Frankfurt Central Station dari Hotel Exslior yang saya huni. dengan menggunakan khidmat keretapi bawah tanah menerusi U-Bahn station atau keretapi LRT (S-Bahn), dan kemudiannya bersambung dengan menaiki bas, segerombolan ahli akademik bertandang ke kampus Goethe Universitat dengan pengalaman yang berwarna.

cuaca akhir musim sejuk dan awal musim bunga yang menyambut kedatangan kami di kota Frankfurt sebenarnya banyak membuka mata saya dan keluarga tentang makna kehidupan, apatah lagi sebagai musafir yang berkelana di perantauan banyak membuka minda agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dianugerah Yang Maha Pencipta. budaya warga Jerman yang agak kurang ramah menghulur persahabatan, pun agak mudah menjawab setiap pertanyaan sebenarnya juga melakarkan pengalaman yang amat berharga buat kami. panorama warganya yang ramai berbasikal di tengah kota antara keseronokan yang dapat kami kutip yang menunjukkan mereka amat mementingkan alam sekitar yang segar dan bersih. subhanallah, nampaknya amalan yang dituntut dalam Islam menjadi hiasan pakaian di kota Frankfurt ini.
 
pun, agak ralat buat saya kerana tidak dapat berlama-lamaan di kota ini disebabkan kami terpaksa bergerak ke beberapa destinasi lain pula yang sudah dirancang di tanahair. oh, saya belum puas menikmati keindahan alam Tuhan ini, begitu hati saya berlagu walaupun mengerti hidup di kota Frankfurt semuanya menuntut perbelanjaan yang besar; bayangkan sepinggan nasi briyani yang dibeli di merata kedai Arab, Turki dan Pakistan bernilai RM50.0o. oh! pun, sebagai manusia yang diberi bakat berkarya, khususnya untuk menghasilkan cerpen atau novel, saya kira kota Frankfurt menjanjikan banyak sisi pengalaman yang amat bermakna yang boleh dijadikan inspirasi menghasilkan latar, plot dan perutusan buat pembaca.

kota Frankfurt, saya tinggalkan ia pada hari ketiga dengan rasa yang berbaur dalam diri. ya Rabb, izinkan saya bertandang ke bumi-Mu ini lagi!
 

tentang saya dan kembara dunia


menjelang April 2012, genap setahun kembara saya dan keluarga menjengah bumi Eropah. terima kasih ya Rabb kerana mengizinkan saya melihat bumi-Mu yang telah lama saya dambakan dalam mimpi. sejak usia belasan tahun, memang saya menyimpan angan-angan mahu melihat dunia sementelah pula emak dan ayah pernah membawa saya dan adik-beradik lain menunaikan umrah buat kali yang pertama pada tahun 1993, waktu itu saya di tingkatan enam atas, dan sedang menunggu keputusan STPM. destinasi Makkah dan Madinah bukan sahaja telah saya lawati kala itu bahkan saya berpeluang ke negara Jordan. seusai urusan ibadah umrah, kami bergerak pula ke Amman, Jordan dan kembali ke tanahair dari negara terbabit. pada waktu itu juga merupakan kali pertama pengalaman saya menaiki kapal terbang bahkan jauh mengembara melihat bumi Tuhan, sedangkan waktu kecil hanya berpeluang ke negara jiran, Singapura. 

setelah beberapakali berpeluang menjadi tetamu Allah di Tanah Suci kerana umrah saya yang kedua pada tahun 1997, diikuti melaksanakan ibadah haji pada tahun 2002, dan sekali lagi menunaikan umrah pada tahun 2008 (setelah berumahtangga), saya memang teringin mahu ke negara Eropah pula. hasrat saya itu selalu terpatri dalam diri sementelah semasa menyempurnakan Ijazah Doktor Falsafah (2001-2005), saya tidak berkesempatan berbuat demikian walhal peluang terbuka luas lantaran masalah kesihatan yang saya alami. dan saya masih ingat, haji yang saya kerjakan pada tahun 2002 itu juga merupakan haji nazar yang diniatkan emak akibat daripada kesihatan saya yang tidak menentu sepanjang bergelut dengan pengajian kedoktoran. dan alhamdulillah saya terhutang budi dan nyawa dengan emak kerana sebaik sahaja menyempurnakan ibadah haji, kesihatan saya beransur baik sehinggalah saya berjaya menyudahkan disertasi penulisan tesis, dan akhirnya bergelar "doktor falsafah". dan barangkali inilah kemenangan yang paling indah dalam hidup kerana saya berjaya mengatasi kemelut diri yang dihujani "derita" yang panjang angkara perbuatan sahabat sendiri (barangkali saya berpeluang mencoret kisah silam saya pernah disihir oleh sahabat satu pengajian di kampus Lembah Pantai pada catatan akan datang).

justeru, peluang keemasan bergelar pensyarah dan peluang membentangkan kertas kerja di luar negara saya manfaat sungguh-sungguh. malahan saya benar teruja dengan sahabat akademik yang berpeluang melangkah ke luar negara membentangkan kertas kerja masing-masing. lebih-lebih lagi sahabat baik saya ini, Prof. Madya Dr. Haliza Abd. Rahman (pensyarah di USM, Kubang Kerian, Kelantan) sentiasa mengirimkan khabar tentang pengalamannya merata membentangkan kertas kerja membuatkan bara semangat saya menjengah dunia Tuhan makin ketara. saya menanamkan azam bahawa suatu masa nanti saya jua akan menakluk dunia dengan apa cara sekalipun. dan akhirnya peluang berkelana ke negara Eropah tercapai apabila abstrak saya diterima oleh pihak penganjur Goethe Universitat, Germany untuk membentangkan kertas kerja. syukur yang paling dalam tentunya pada Ya Awwal Ya Kabir yang merealisasikan impian saya menjadi nyata.

tanggal 29 Mac 2011, setelah menguruskan banyak perkara sebelum tarikh keberangkatan, saya akhirnya memanjat tangga pesawat Qatar Airlines di Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk ke destinasi Qatar (transit selama beberapa jam) sebelum tiba di lokasi yang diidami, Frankfurt, Germany. bersama-sama dengan suami dan anak-anak, Kamila dan Khayra saya harungi penghujung musim sejuk dan bermulanya musim bunga di negara empat musim yang menjadi igauan sepanjang dunia imaginasi dan kreativiti saya dalam penulisan kreatif. ya Rabb, akhirnya, setelah lama menyimpan cita-cita, memasang angan-angan dan memanjat doa, saya dengan izin-Mu sampai ke dunia yang asing ini, dan bahagianya hanya Dia Yang Maha Mengetahui. seluruh sukma saya bergemercing riang sementelah pula bahagia melihat anak-anak di sisi, dan suami yang sentiasa memahami berada dalam kembara dunia ini. ya Allah, untuk sekian kalinya, saya menadah tangan merafak doa pada-Mu, terima kasih, terima kasih dan terima kasih. saya sebenarnya takjub melihat keindahan ciptaan-Mu dan saya juga sesungguhnya malu pada-Mu kerana betapa kerdilnya diri ini kerana melunasi impianku, pun kekadang sering alpa dan ingkar suruhan-Mu. Allah al-Wali (Yang Maha Melindungi), al-Muhyi (Yang Maha Menghidupkan), al-Alim (Yang Maha Mengetahui) ampunkan saya Tuhanku!


tentang saya dan masalah orang

adakah anda pendengar yang baik? saya, bagaimana pula? sepanjang usia berginjak, dengan rencam pengalaman yang pelbagai warna, tentunya sesiapa jua memiliki serangkum permasalahan yang menghunjam diri. saya tidak terkecuali. pun, sudah menjadi lumrah barangkali, andai masalah yang merantai diri, saya lebih senang merungkainya sendiri, atau paling tidak dengan orang yang paling akrab dalam keluarga sahaja. musabab itu saya jarang berkongsi apa jua permasalahan yang berlingkar dalam sanubari dengan sebarang orang kerana bagi saya "masalah merupakan privasi insani", atau saya lebih selesa menumpahkannya ke dalam bentuk penulisan yang telah bertahun-tahun saya geluti. lantaran itu juga pada peringkat awal berkarya, khususnya genre "cerpen" dan "novel", kisahnya banyak bertolak daripada dunia realiti yang saya harungi dan juga perkongsian pengalaman sahabat-sahabat yang saya gauli.

hari ini, saya masih jua dihadapkan dengan pelbagai masalah diri, pun, alhamdulillah masih utuh berdiri kerana masih memiliki kekuatan dek dorongan keluarga khususnya suami dan anak-anak tercinta. dan, saya juga kini masih dihadap dengan pelbagai permasalahan orang lain khususnya perkongsian kisah-kisah meruntun jiwa daripada sahabat wanita. oh, kasihannya setiapkali saya mendengar "cerita" itu dan ini, "cerita" putih dan hitam yang harus ditangani. lebih-lebih lagi yang telah memiliki keluarga sendiri, tetapi duga yang datang menghempap sanubari sukar sungguh dileraikan hati. lalu, telinga sayalah yang menjadi laluannya. "dia begitu", "dia begini", "orang itu teruk", "orang itu sakit", "sidia zalim", "sidia penggoda" dan bla, bla, bla dengan seribu persoalan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. dan saya, bagaimana bila menghadapi situasi begini?

adakalanya saya merasa hiba, adakalanya saya merasa kecewa, adakalanya saya merasa mahu meluahkan tawa, dan adakalanya jua saya merasa benci dengan suasana. oh, teruknya emosi saya. pun, saya bersyukur kerana sentiasa pula mendapat sokongan daripada suami yang jua turut sudi mendengar "kisah" dan "cerita" saya dengan pelbagai permasalahan orang yang menghunjam kami. kalau dulu, emaklah tempat saya meluahkan segala "kisah" dan "cerita" sama ada saya dan orang lain, tetapi kini dek kerana kesihatan emak yang tidak menentu, saya menghalakannya kepada suami. mujur, memang mujur, dialah suami saya, dialah tempat muntahan amarah saya, dialah tempat nada tawa saya dan dialah tempat perkongsian pelbagai seliratan kisah di dunia; oh, dia memang sahabat saya!

barangkali nanti bila puteri sulung saya menginjak usia, dia tentu sahaja tempat saya melampiaskan segala "kisah" dan "cerita", musababnya hari ini telah saya lihat potensinya untuk menghalakan telinga menadah berita: "mengapa bu?", "kenapa bu?", "macamana bu?", "bagaimana bu?", walaupun baharu sahaja mencecah usia 5 tahun pada 23 Mac yang lalu, dia sebenarnya lebih dewasa daripada angka yang ada. terima kasih ya Rabb menghadirkan Zahra Kamila buat saya, dan sesungguhnya inilah harta yang paling berharga dan nyawa buat saya dan keluarga. saya sesungguhnya bahagia dilingkungi dengan lingkaran masalah diri dan masalah orang lain kerana saya punya zuriat tercinta yang turut jua berkongsi segala macam emosi yang saya lalui.

tentang saya dan perkongsian masalah orang lain yang datang dalam diri, saya amat berterima kasih pada-Mu Ya Rahman Ya Rahim kerana dengannya saya jadi teguh untuk berdiri, cekal untuk berlari menempuh sarat uji yang datang dalam arus kehidupan ini. dan tentu sahaja kerana saya pengarang kreatif yang dianugerahkan bakat semulajadi, maka ramai pula sahabat sekeliling yang mahu saya menjadi pendengarnya. ya Rabb, moga sahaja saya menjadi pendengar yang baik dan memanfaat "kisah" dan "cerita" orang lain sebagai iktibaran dalam kehidupan yang duganya bukan kepalang!

Wednesday, April 4, 2012

tentang saya dengan mahasiswa

selama tempoh saya bercuti panjang menukangi kerja-kerja penyelidikan dan penulisan, saya fikir tidak ada sebab untuk para mahasiswa khususnya yang berada di bawah penyeliaan saya tidak melaporkan perkembangan pengajian mereka. ini kerana saya mempunyai masa yang cukup untuk kerja-kerja membaca pelbagai genre buku, menilai manuskrip, menulis dan lain-lain yang berkaitan seputar dunia keilmuan. ini dunia saya, dunia akademik yang telah saya gulati hampir 20 tahun lamanya, mana mungkin saya tidak berupaya dan tidak berminat untuk melaksanakan apa sahaja tentang dunia ilmiah saya ini. justeru, andai ada dalam kalangan para mahasiswa khususnya pelajar sarjana dan ijazah doktor falsafah yang berada di bawah penyeliaan saya "berkira-kira" atau menyatakan pelbagai helah dan alasan untuk menyiapkan kajiannya, saya kira ia satu omong kosong. tidak ada sebab saya tidak akan meluangkan waktu kerana ini zaman teknologi. andai saya dan para pelajar tersebut tidak dapat bersua muka, mereka boleh sahaja menghubungi saya melalui emel, mukabuku (facebook), sms dan pelbagai kemudahan teknologi lain. ini zaman canggih, zaman serba orang tahu menggunakan teknologi. aduhai...
ada dalam kalangan mahasiswa saya yang bertahun-tahun menyiapkan penulisan tesis, akhirnya siap dilunasi tetapi apabila tiba waktu pembetulan selepas viva-voce, kekuatan semangatnya luntur. entah mengapa, berbulan-bulan saya menunggu dia membetulkan penulisan tesisnya tetapi sehingga kini tiada perkembangan mutakhir. ingatlah bahawa masa tidak menunggu sesiapa, saya hanya sekadar membantu apa-apa yang diperlukan,selebihnya para pelajar tersebut perlu bertindak. usah mudah goyah dengan tekanan persekitaran kerana tidak ada sesiapa yang boleh menolong diri andai diri sendiri tidak menolongnya.
telah saya lalui pengalaman bertahun-tahun melunasi pengajian peringkat siswazah di kampus sama ada kala menyudahkan ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah, memang duganya bukan kepalang. justeru, hanya dengan semangat dan kekuatan yang padu sahaja dapat merungkai permasalahan. bak kata pepatah Melayu "hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih", nasihat saya teruskan semangat yang ada dalam diri kerana baranya hanya diri sendiri yang tahu, selamat berjuang, selamat bergulat dengan ilmu kerana "hidup ini tidak semudah yang dibayangkan" untuk menempah sebuah kemenangan kerana kepahitan yang perlu diredah terlebih dahulu!

tentang bajet kampus

saya dan anak-anak sudah kembali ke Bangi, rumah kami. sepanjang tiga minggu meninggalkan rumah kami, banyak sebenarnya urusan yang perlu saya tangani sama ada tentang hal peribadi atau hal kerjaya. dan hari kedua selepas pulang daripada bercuti panjang di kampung halaman, tentulah ke tempat kerja saya, kampus Serdang yang telah lama tidak dijengah. perkara utama yang perlu saya lakukan pabila tiba di kampus tentulah menjenguk kotak surat (pigeon hole) untuk melihat perkembangannya. ya, alangkah banyaknya surat-surat yang perlu saya semak dan baca, dan susulkannya dengan tindakan. pertama, yang perlu saya tangani ialah tentang permohonan tuntutan semula wang aktiviti pelajar semasa semester lalu (projek berakhir pada Disember 2011), dan saya telah lakukan tuntutan pada awal Februari 2012 tetapi sehingga kini permohonan itu masih belum selesai. aduhai, terkejut saya bukan kepalang kerana masuk kali ini sudah tiga kali permohonan saya ini ditolak (reject) kerana masih tidak memenuhi kehendak pihak bendahari/kewangan. pada peringkat awal, yang masih saya ingat permohonan tuntutan saya ditolak ialah kerana kekurangan daripada segi menampal resit-resit di atas kertas putih; kemudian diikuti dengan tolakan kedua apabila saya tidak menandatangani setiap resit-resit dan surat penerimaan honororium penceramah untuk mensahihkannya, dan kali ini tolakan ketiga kerana saya tidak menyertakan sama surat pelantikan mengundang penceramah. 

ya Rabbi, mahu terduduk saya dengan kerenah pihak pengurusan bendahari/kewangan di atas kerigidan undang-undang yang mereka cipta tetapi tidak menyatakannya pada bahagian borang permohonan tuntutan wang tentang syarat-syarat yang perlu dilakukan oleh seseorang pemohon. yang menjadi musykilnya, mengapa sukar benar mereka untuk meluluskan dan menerima permohonan tuntutan tersebut sedangkan kelulusan awal bajet yang kami pohon semasa mahu lakukan projek telah diberikan kelulusan oleh pihak dekan fakulti. yang saya marah ialah kerana tidak ada satu prosedur atau garis panduan yang ditetapkan, tetapi pabila permohonan ada kesilapan, senang-senang sahaja mereka tolak dan menyatakan alasannya "itu" dan "ini". disebabkan saya jarang ke kampus sekarang kerana bercuti sabatikal, ini menambahkan kesulitan kepada saya untuk mengambil semula tuntutan permohonan itu, kemudian membaikinya dan kemudian menghantarnya semula ke kampus.

lagipun aktiviti pelajar sudah pun berakhir tiga bulan yang lalu, dan sebahagian daripada wang yang dituntut itu merupakan wang yang didahulukan oleh pelajar dan selebihnya wang saya. kalau wang saya mungkin saya boleh berkompromi tetapi tidak mungkin kepada para pelajar yang kewangannya terhad semasa berada di kampus. inilah yang memeningkan kepala saya, kemarahan saya barangkali sudah tahap maksimum dek sikap "rigid" dan "kerenah" pegawai yang bertugas di bahagian bendahari/kewangan, yang bagi saya tidak menambah apa-apa mutu pun dalam perkhidmatan mereka. tambahan pula, wang yang saya tuntut bukannya puluhan ribu, jauh sekali mencecah jutaan. wang yang saya tuntut hanya sekadar RM1, 400.00 sahaja, bahkan itu memang hak saya dan para pelajar saya kerana kami telah mendapat kelulusan (hitam-putih) dan bersurat daripada dekan fakulti terlebih dahulu sebelum kami melakukan aktiviti tersebut. alahai, kalau beginilah urusan di kampus, nampaknya mutu perkhidmatan sampai bila-bila pun tiudak efisien dan diyakini, apatah lagi disegani oleh pihak luar, lebih-lebih lagi oleh pihak bukan penjawat awam...dek kelembapan dan kelambatan dalam soal bekerja dan menguruskan...oh, saya banyak belajar tentang ini, dan sebenarnya mendidik saya menjadi seorang penyabar yang tegar juga, malahan anak yang bakal saya lahirkan jua, mudah-mudahan menjadi seorang anak yang sabar dan tenang dalam banyak urusan dunia ini!