Thursday, December 27, 2012

Integriti dalam dunia akademik

Artikel yang elok untuk bacaan oleh seseiapa jua dalam dunia kampus hari ini. Moga bermanfaat!
Integriti dalam dunia akademik

Sunday, October 7, 2012

buatku yang bergelar ibu, dan untuk emak yang sentiasa bertakhta di hatiku

hero saya, Muhammad Khalil Ziyad Zaidi

lama catatan di blog ini tidak saya peduli lantaran pelbagai urusan yang perlu ditangani sepanjang Ramadan, berginjak kepada Syawal, dan Zulkaedah malah menjelang Zulhijah, masih beberapa perkara perlu saya laksanakan. moga Allah Ya Rahman Ya Rahim menebarkan kekuatan seluas langit dan bumi buat saya mengharungi segala uji yang datang dan pergi. pertamanya, tentang keadaan kesihatan emak yang diserang strok (angin ahmar) sehari sebelum Ramadan begitu membuatkan saya kehilangan kata-kata dan kekuatan yang bertandang setiap masa. kerana emak, adalah nyawa saya, kerana emak adalah segala-galanya buat saya. akan saya catatkan dalam entri akan datang tentang emak saya ini.





kali ini, kisah hero saya yang dikurniakan Allah al-Qahhar al-Quddus tanggal 24 Ramadan 1433 bersamaan 13 Ogos 2012, telah selamat dilahirkan di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi. alhamdulillah, anakanda ketiga yang dinanti dalam keluarga penyeri suasana dan rumahtangga. syukur Ya Rabb dengan kelahiran ini membuatkan jiwa saya sungguh bahagia. dia hero saya, Muhammad Khalil Ziyad Zaidi namanya. dia adik lelaki kepada kakak-kakaknya yang selama ini penghibur hati saya, Zahra Kamila Zaidi dan Zahra Khayra Zaidi. alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah ya Allah Tuhan alam semesta!

Tuesday, June 5, 2012

tentang saya dan tokoh hebat Ganu Kite

sejak akhir-akhir ini, ramai sekali tokoh-tokoh hebat anak kelahiran Terengganu Darul Iman menghiasi persada masyarakat. sama ada daripada golongan wanita mahupun lelaki, kehadiran tokoh-tokoh hebat dalam pelbagai bidang disiplin pendidikan ini amat mengujakan. antara yang sedang hangat kini ialah Ustaz Azhar Idrus, Prof. Dr. Mohd Kamil, Dr. Tengku Asmadi, Prof. Dr. Zulkifli al-Bakri, Dato' Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, Prof Dr Muhaya Mohamed dan lain-lain. Mereka menghiasi dunia tanahair dengan sumbangan ceramah agama dan motivasi. Malahan, dengan terbitnya buku-buku mereka di pasaran tambah menghangatkan lingkungan masyarakat dengan kehadiran tokoh-tokoh terbabit. musabab itu, saya kini rasa berbangga kerana satu persatu anak kelahiran Terengganu Darul Iman menghiasi dunia sumbangan ilmuan tanahair. 
 
sementelah sebelum ini dalam dunia persuratan Melayu tanahair, telah wujud Prof. Dr. Hashim Awang, penjana teori Pengkaedahan Melayu, juga anak Terengganu Darul Iman yang lama  menyumbang bakti di Universiti Malaya, kemudia beralih angin ke Universiti Brunei Darussalam selama 10 tahun dan kini dalam usia emasnya, masih utuh menyumbang tenaga di Akademi Pengajian Melayu. saya kagum dengan tokoh ini kerana teori janaannya telah digunapakai oleh ramai anak bangsa dalam mengenggam jaya dalam pembelajaran di kampus khususnya pada peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah. siapa kata teori tempatan tidak mendapat tempat dalam dunia persuratan Melayu dan nusantara dan antarabangsa? tokoh anak kelahiran Kuala Terengganu ini telah membuktikannya. begitu juga terhadap tokoh ini, YB Dr. Haji Shafie Abu Bakar, pengasas teori Takmilah juga merupakan anak kelahiran Dungun yang telah menumpahkan bakti selama puluhan tahun di kampus Bangi. alhamdulillah, menerusi teori Takmilah yang membuatkan saya juga lulus dengan cemerlang dalam pengajian Ijazah Doktor Falsafah dengan tesis "Novel-novel Berunsur Islam: Satu Analisis Berdasarkan Teori Takmilah", dan tesis itu kini sudah diterbitkan dalam bentuk buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. alhamdulillah jua buku yang diterbitkan pada tahun 2011 itu telah mendapat tempat pasaran bukan sahaja di tanahair, bahkan di Singapura dan Brunei Darussalam, syukur saya pada Allah Ya Rahman Ya Rahim dengan kehadiran teori yang dibikin oleh Dr Shafie Abu Bakar, yang kini sudah bersara dalam dunia pendidikan dan terlibat dalam dunia politik tanahair dan merupakan yang berhormat Adun Kajang.
 
manakala dalam dunia pakar sakit puan, saya kagum dengan kehadiran Dr Khamsiah Muda yang juga merupakan anak jati Terengganu. sebut sahaja nama Dr. Khamsiah Muda yang berkhidmat di Hospital Pakar An-Nur, saya fikir semua masyarakat Bangi, Kajang, Serdang, Puchong dan Putrajaya mengenalinya. ketokohannya sebagai seorang doktor pakar wanita memang diakui kerana profesionnya yang menuntut kecermatan dan ketelitian yang bukan kepalang dalam melayan ibu-ibu hamil dan menguruskan waktu bersalin. alhamdulillah, saya juga punya pengalaman indah dan manis dengan Dr. Khamsiah lantaran budi dan bahasanya kala berurusan dengannya sepanjang kehamilan saya bermula daripada anak sulung, anak kedua dan ketiga ini. bagi saya, beliau merupakan doktor pakar wanita yang hebat bukan sahaja dalam soal kerja kedoktoran bahkan sebagai doktor yang banyak menyuntik motivasi dan keagamaan. kenangan kala saya ketakutan menghadapi hari bersalin semasa melahirkan anak pertama tetap terpahat di ingatan kerana Dr. Khamsiah banyak menyuntik motivasi dan nasihat dalam bentuk keagamaan yang membuatkan diri memperoleh semangat dan kekuatan yang bukan sedikit. 
 
musabab itu, dalam meniti hari kini, melihat ramai tokoh-tokoh hebat anak kelahiran Terengganu menabur bakti dalam dunia masyarakat dengan disiplin ilmu yang pelbagai, saya merasa amat berbangga. sumbangan mereka dalam dunia ilmuan amat bermakna sementelah dalam kemelut masyarakat yang dihimpit dengan pelbagai seliratan permsalahan kehidupan. suatu masa, ya, suatu masa saya bercadang mahu mendekati tokoh-tokoh terbabit dengan lebih intim, dan moga sahaja impian saya untuk menulis tentang kisah mereka dalam bentuk buku akan membuahkan hasil. ya Rabb, dengan izin-Mu, tentang saya dan tokoh hebat Ganu Kite akan turut menyuntik inspirasi saya untuk menjadi sehebat mereka, mudah-mudahan suatu ketika demi ummah tercinta!

Friday, June 1, 2012

tentang saya dan keletah anak-anak tercinta

benarlah kata orang, anak-anak merupakan harta yang paling berharga yang tidak dapat ditukar dengan harta benda sekalipun. sementelah kala mereka sedang membesar, momen yang terpatri bersama dengannya merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat ditukar ganti dan datang kembali semula. musabab itu menurut pengalaman orang tua, kalau boleh setiap detik anak-anak kecil bersilih ganti pergerakannya bermula dia pandai meniarap, merangkak, berjalan, tumbuh gigi dan berlari, hendaklah ibu bapa berada di samping mereka kerana kenangan itu pastinya tidak boleh dijual beli lagi.
oh, dan saya setiap detik hari ini bersyukur kerana di celah kesibukan dalam kerjaya, masih ada ruang untuk bersama dengan anak-anak tercinta. lebih-lebih lagi kini berpeluang cuti selama sembilan bulan, kesyukuran berganda. walaupun dalam tempoh cuti sabatikal ini saya harus menyempurnakan projek penyelidikan yang telah diusulkan semasa memohon cuti tempohari, dan progresnya agak perlahan lantaran tidak dapat bergerak aktif dan produktif sementelah kandungan pula makin membesar; pun saya sering memujuk diri bahawa peluang bersama dengan anak-anak lebih bermakna dan Allah mengirimkan zuriat yang ketiga ini pasti mengundang hikmahnya yang tersendiri, usik kawan-kawan saya "anak sabatikal", dan saya mempotret senyum yang panjang. teringat saya kepada sahabat saya, Dr. Tengku Intan Marlina (Pensyarah Universiti Malaya), dia berbadan dua kala menyudahkan pengajian ijazah doktor falsafah dan waktu itu ramai orang mengusiknya sebagai "anak Ph.d", dan hari ini anak itu membesar menjadi anak yang soleh dan keletah.
memang kala membesarkan anak-anak, Allah sahaja Yang Maha Mengetahui perit getir menangani kerenah dan ragam mereka. apatah lagi bila mereka dilanda sakit atau bergaduh sesamanya. jerit pekik memenuhi rumah usah dicerita, dan suara emak dan ayah sudah pasti meninggi sedikit kerana tidak tahan dengan keletah mereka lebih-lebih pula sedang tekanan menghimpit diri dek kelibut dengan kerja-kerja pejabat, pun saat melihat bening matanya dan senyum tawanya bergelak senda, Ya Rabb Maha Kaya dan Maha Agung-Nya ciptaan-Mu pada makhluk-Mu. dan pengalaman saya kala membesarkan dua puteri tercinta dalam usia 5 dan 3 tahun ini punya momen indah yang sukar diungkap dengan kata-kata. bayangkan kala saya dilanda kemurungan dek sibuk menatap manuskrip demi manuskrip penilaian sama ada ilmiah dan juga kreatif sambil menapung perut yang main membesar, sikecil, Zahra Khayra datang menyejukkan perasaan dan memautkan keharuan: "adik tahu ibu sakit, tapi adik tak tahu macamana nak tolong ibu", waduh seraya mendakapnya erat saya menahan sebak yang bergumpal dalam dada. ya Allah, kau mengurniakan anak-anak sebagai amanah untuk saya mencoretkan kehidupannya sebagai Muslimah.  

dan kala puteri sulung menjayakan sukan tahunan bagi Tadika Little Caliph peringkat bandar baru bangi dengan menghimpunkan tiga buah tadika dari Seksyen 7, Seksyen 8 dan Seksyen 3, saya gagahkan diri untuk sama-sama berpanas terik di Stadium UKM sehari sebelum cuti penggal persekolahan bermula. alhamdulillah melihat ceria anak-anak kecil yang comel belaka di tengah padang menyertai pelbagai acara, saya turut sama berbahagia. dalam keadaan cergas dan cerdas anak-anak kecil yang comel berlari-lari riang dengan busana yang menutup aurat turut menjadikan kalbu saya menggebu-gebu gembira. moga sahaja anak-anak yang dididik dengan asuhan iman dan Islam akan terus menyuburkan agama yang diwarisi daripada Rasulullah SAW sebagai addin yang syumul ini merata mekar seluruh alam maya. dan saya dalam keributan mengharungi apa sahaja kemelut dalam kerjaya, akan tetap menganggap keluarga adalah keutamaan dan anak-anak tercinta adalah segala-galanya yang tiada tandingan, tentulah kesyukuran pada-Mu ya Rabb Tuhan Yang Maha Kaya dan Maha Sempurna pastinya!


Friday, May 18, 2012

tentang saya dan peminat setia

masuk tahun ini, sudah 21 tahun saya terlibat dalam dunia kepengarangan. alhamdulillah, saya masih boleh bertahan, dianugerahkan Allah Ya Rahman Ya Rahim kesihatan, kekuatan dan dorongan padu daripada seluruh ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat-sahabat akrab yang sentiasa di sisi mengikuti perkembangan saya dalam bidang yang penuh cabaran ini. masih dalam ingatan saya mula menulis kala usia 12 tahun, darjah enam di Sekolah Kebangsaan Binjai, bermula dengan catatan "biasa-biasa" sahaja dalam diari yang dihadiahkan ayah. saya mencatat segala macam aktiviti yang dilalui setiap hari sehinggalah tentang segala rasa yang membelenggu diri, maklum sahaja saya anak perempuan tunggal yang sering ditinggal emak dan ayah yang sibuk berkursus di sana dan di sini, maka arwah tok wan Halimahlah tempat saya mengadu kisah dan menagih perhatian dan kasih-sayang. 
 
alhamdulillah pula saya dikelilingi sahabat akrab yang benar-benar memahami "jiwa" saya. salah seorangnya ialah Fariza Khalid, sahabat ini merupakan anak kepada arwah Cikgu Khalid, juga merupakan salah seorang guru besar yang sibuk seperti ayah saya dan kedua-duanya amat terkenal di Kemaman sebagai seorang guru yang tegas dan berdedikasi. kami walaupun kala itu kami masih dalam darjah yang sama, Darjah 6A tetapi telah memulakan berutus menerusi surat dan poskad. lucu bila mengenangkan pabila kami buat kali pertama saling mengirimkan poskad menerusi perkhidmatan pos lantaran mahukan "kejutan" dan "seronok" kerana dapat menerima surat dan setem yang pelbagai rupa dan bentuk. dan perkara ini terbawa-bawa sehingga masing-masing beralih ke alam sekolah menengah, yang mana saya di Sekolah Menengah Agama al-Falah dan Fariza melebarkan sayapnya ke Sekolah Menengah Tok Jiring, Kuala Terengganu lantaran pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan Darjah Lima. boleh dikatakan hampir setiap bulan saya akan menerima khabarnya menerusi surat dan saya juga kerap membalas suratnya itu. keadaan ini berlanjutan sehingga dia ke Kolej Islam Kelang (KIK kini KISAS), masih berterusan sahabat seorang ini mengutus berita kepada saya menerusi surat. sehinggalah saya ketika di tingkatan 2, saya masih berusaha menulis, dan kali ini saya dengan berani menulis sebuah cerpen, "Bukan Itu yang Kupinta", yang akhirnya dimajukan kepada pihak Majalah Sekolah Tahunan SMA al-Falah untuk pertandingan peraduan menulis cerpen peringkat sekolah. alhamdulillah, cerpen tersebut akhirnya memenangi tempat ketiga dan dimuatkan dalam majalah sekolah tahunan 1987. kala itu Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika kaki melangkah menaiki pentas di dewan sekolah saat menerima hadiah daripada pengetua sekolah, nama saya gah bergema dalam dewan; oh, kenangan. 

maka sejak itulah saya melebarkan sayap dalam dunia penulisan dan berterima kasih pada Ya Rahman Ya Rahim kerana menganugerahkan bakat yang tidak semua dimiliki orang. pada tahun 1989, saya dengan berani pula menulis cerpen untuk Majalah Dewan Siswa setelah kerap menatap cerpen-cerpen di dalam majalah tersebut dan mengenali beberapa nama pengarang muda menerusinya. alhamdulillah, cerpen pertama saya menembusi majalah tersebut pada tahun yang sama. cerpen "Gelora Rasa" merupakan landasan utama untuk saya bergelar seorang penulis akhirnya. maka, pada tahun yang sama saya diundang untuk mengikuti bengkel Minggu Remaja yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka selama seminggu di Kuala Lumpur. kali pertama menjejakkan kaki di Dewan Bahasa dan Pustaka tentulah bauran rasa debar, gundah, ghairah, teruja dan pelbagai lagi yang menyatu dalam diri sementelah saya mewakili penulis dari Terengganu kerana bengkel ini menghimpunkan anak-anak muda yang berbakat besar dari seluruh tanahair yang karnya pernah tersiar dalam majalah Dewan Siswa atau wadah media yang lain di Malaysia. bertemu dengan sahabat penulis yang pelbagai bangsa dan perjuangan tentunya kenangan dan pengalaman yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata, semnetelahan pula saya dapat bersua dengan beberapa orang pengarang mapan dan terkenal tanahair seperti allahyarham Arena Wati, allahyarham Ismail Sarbini, allahyarham Ali Majod, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi dan lain-lain. juga dapat berkenalan dengan ramai editor majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka juga merupakan suatu bonus kerana selepas itu kami diberi bimbingan untuk terus berkarya, berkarya dan berkarya.

sehingga kini, setelah mengharungi pelbagai cabaran dan pengalaman, saya masih utuh berdiri dan masih kukuh berlari untuk terus berkarya, berkarya dan berkarya dengan lebih rancak. alhamdulillah Allah SWT masih membekalkan ilham buat saya untuk terus menyumbangkan idea untuk dinikmati oleh ummah yang hauskan tulisan yang berguna. terbaharu, saya dilantik sebagai kolumnis Majalah Farduain terbitan Kalimat Cinta Sdn. Bhd, seak Mac 2012, artikel saya boleh dinikmati ramai masyarakat sehingga kini. dan paling terharu tentulah kala beberapa orang peminat setia yang sudi menanyakan perkembangan diri tentang penulisan yang mereka ikuti sejak saya menjadi kolumnis di Majalah Anis (2001-2008), tentulah saya menjawab: "saya masih berkarya, terbaru di Majalh Farduain, dan masih menulis untuk buku, insya Allah akan terbit buku baru penghujung tahun ini, insya Allah."

senyum peminat membuatkan saya begitu dihargai. moga sahaja apa yang tercatat di persada kertas dapat dimanfaatkan bersama demi pembangunan ummah tercinta dan ia menjadi khazanah yang paling bermakna untuk saya tinggalkan buat dua puteri yang dikasihi, dan tentu sahaja untuk zuriat yang bakal lahir pada penghujung Ogos nanti. ya Rabb, sejauh ini saya melangkah, diuji, dibekali kekuatan, dianugerahi ketabahan, dititipkan kesabaran, dinaungi keimanan dan dicicipkan kesihatan, maka saya amat, amat dan amat berterima kasih dan bersyukur pada-Mu Ya Rahman Ya Rahim yang menguasai keseluruh alam ini. tanpa anugerah-Mu yang tidak putus-putus ini, tentu sahaja saya sudah tiada di muka bumi-Mu ini. untuk sekian kalinya, terima kasih Allah Penguasa alam semesta yang mewujudkan "Kamariah Kamarudin" sebagai hamba-Mu yang kerdil cuma di muka bumi ini.

Sunday, May 13, 2012

tentang saya dan menu masakan nogori

barangkali kerana ayah saya anak jati Negeri Sembilan, maka lidah saya boleh menerima apa sahaja menu masakan nogori. biarpun masakan lemak cili apinya pekat likat dengan pedas yang berasap, saya boleh menerimanya. maka kini puteri sulung, Kamila juga menerima tempiasnya yang juga begitu gemar dengan lauk yang pedas terutama masak lemak cili api yang saya pelajari daripada emak yang bertahun-tahun memasak untuk ayah. dan saya sering berseloroh dengannya: "dek awak cucu kesayangan tokki, lauk pun awak suka masakan pedas", dan kala itu Kamila ketawa mengekek.
 
pun begitu, cara masakan menu lauk nogori tentunya tidak dapat menyamai anak jati Negeri Sembilan sendiri yang memasaknya. ini dapat saya kesan daripada kekerapan kunjungan ke rumah ibu saudara, satu-satunya adik perempuan ayah, Mak Teh Ratipah@Jamaliah yang menjamu kamu dengan hidangan masak lemak cili api yang benar-benar "berapi". misalnya kunjungan kami ke rumahnya di Taman Pinang Gading baru-baru ini menyerlahkan kehebatan dan kekreatifan cara memasak orang Negeri Sembilan. kami sekeluarga dihidangkan dengan masak lemak cili api pucuk ubi rampai dan masak lemak cili api daging beserta nangka muda, fuh, enak tidak terkata. walaupun saya tahu emak sering juga menyediakan masakan tersebut kala saya masih kecil dan saya sendiri sudah maklum dan arif tentang penyediaannya, namun cara masakan anak jati nogori memang tiada tandingan.
 
masak lemak cili api pucuk ubi rampai sebenarnya satu menu yang menyelerakan sesiapa jua yang menikmati hidangan tersebut. manakan tidak kerana perencahnya yang pelbagai; pucuk ubi, daun labu, daun asam gelugur, daun kunyit, serai, ikan bilis dan tempoyak, dan jika yang gemarkan petai, bolehlah juga meletakkannya. digaul rapi dengan cili api yang santan pekat likat, waduh pasti meleleh air liur dengan aromanya yang tentu sekali membuka selera. cara racikan pucuk ubi dan daun-daun pucuk lain juga sebenarnya ada seni yang tersendiri, halus dan rapi berbanding saya pernah menikmati menu yang sama yang disediakan oleh bukan anak jati Negeri Sembilan, waduh, cara racikannya kasar sahaja:-(, asal sudah dan siap, ohhhh.
 
dan kami petang itu asyik bercoletah sekitar menu masakan nogori yang pelik tapi enak dan menyelerakan sesiapa jua; masak lemak cili api maman dengan ayam kampung, rendang pucuk ubi, masak lemak cili api otak lembu bersalutkan daun kunyit, rendang itik dan bla, bla, bla, bla. ohhhh, seakan boleh saya rakamkan segala resepi tersebut dan jadikan ia buku masakan "oghang nogori yang enak dan lazat", hahahaha, pecah gelak tawa kami sekeluarga di rumah Mak Teh Ratipah@Jamaliah, yang sudah menganggap saya seperti anaknya sendiri kerana sejak kecil sehingga kini saya dilayan "first class" olehnya dalam apa sahaja situasi. dan paling manis tentulah mengenang alam perkahwinan saya enam tahun yang lalu, beliau bertindak sebagai ibu kedua saya selepas emak dalam menguruskan kelengkapan majlis nikah dan sanding. syukur ya Rabb!
 




dan petang itu juga Mak Teh menyediakan kuih koci yang menjadi kegilaan adik bongsu saya dan suami. dan selepas memerhati caranya menyediakan bahan dan atur kerja, saya yakin selepas ini saya sudah bersedia untuk menyediakan kuih koci yang manis bersari itu, insya Allah. oh, tentang saya dan menu masakan nogori sebenarnya bukan sekadar memenuhi selera tekak bahkan yang paling utama menyuburkan ukhwah antara kami anak-beranak khususnya ikatan antara sanak-saudara sebelah ayah yang merata di Negeri Sembilan yang juga sudah tidak dikenali lantaran tempoh rantau ayah yang cukup lama di tanah kelahiran emak. oh, maka, sayalah yang bakal menyambung ukhwah ini, insya Allah, dan anak-anak saya kelak juga tahu asal usul tokkinya yang kaya khazanah warisan masakan dan kreativitinya:-)
 
 

Wednesday, May 2, 2012

tentang saya dan anakanda tercinta

saya akui bahawa saya seorang ibu yang kalah kepada anak-anak lantaran cinta, kasih dan sayang saya mengatasi segala apa yang ada di dunia ini. lantaran jua kerana saya tidak memiliki adik-beradik perempuan, maka kala memperoleh dua orang puteri, lebih-lebih lagi di usia 30-an dianugerah zuriat oleh Ilahi, maka rasa cinta yang begitu menebal sukar untuk dimengerti banyak orang. musabab itu juga saya sanggup mengusung kedua-duanya ke mana-mana saya pergi lantaran ketidaksanggupan untuk berpisah walaupun sehari. begitu yang terjadi sewaktu saya menginap di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semasa menghadiri mesyuarat perwakilan MASTERA. apabila diketahui bahawa saya diberikan bilik seorang, maka saya tanpa lengah mengajak suami membawa anak-anak bersama menginap di sana sepanjang mesyuarat berlangsung. dan memang mengujakan pabila sampai di hotel tersebut kerana bilik yang diberikan amatlah luas dan besar, memang terasa kesunyian andai saya duduk keseorangan. malahan menerusi tingkat 43, saya dapat melihat panorama bandaraya Kuala Lumpur sayup memandang. dan agak gerun juga pabila melihat tapak Penjara Pudu yang tinggal sejarah daripada sisi atas bangunan selain bangunan-bangunan pencakar langit menjelajahi pandangan.
 
pada hari pertama mesyuarat berlangsung, memang kedua puteri saya amat ghairah saat sampai ke bilik hotel. barangkali tahun ini kami belum ke mana-mana destinasi dan mereka belum mengikuti saya berbengkel atau berseminar, maka keghairahan mereka berganda. wah, besarnya bilik ini, ibu, kata sikakak. malahan siadik pula tersenyum simpul melihat bilik yang lengkap dengan segala macam kemudahan. namun, pada hari kedua mesyuarat berjalan, ternyata kedua-dua adik-beradik ini mulai bosan. pagi-petang, ibunya asyik bergegas ke bilik mesyuarat ternyata membuatkan mereka mula menunjukkan riak tidak berpuas hati. sementelahan sikakak mahu ke kolam renang dan beria-ria membawa baju renang kerana sudah lama tidak berbuat demikian. disebabkan saya kepenatan setelah seharian di bilik mesyuarat, maka waktu petang kami lebih selesa berehat di bilik, hanya suami saya sesekali turun membeli barang keperluan. dan memang saya tidak menyangka bahawa hotel ini merupakan hotel yang serba lengkap kemudahannya di tengah kotaraya, dan saya sebenarnya tidak menyangka juga bahawa Berjaya Times Square memiliki hotel walhal selama ini hanya menganggap sebuah gedung membeli belah sahaja. ohhhh, tanahairku.
 
malam hari terakhir mesyuarat, puteri sulung saya diserang demam. aduhai. debar mulai menyelinap seluruh sukma. risau dan resah-gelisah mulai memenuhi urat nadi. baharu sahaja saya sembuh daripada demam yang panjang disulami dengan batuk dan selsema yang teruk, kini puteri sulung pula menimpa. ya Rabb, saya tidak sanggup melihat kesakitannya sementelah pula mesyuarat belum berakhir. dalam rasa debar melihat suhunya yang tetiba meningkat, saya harung hari terakhir mesyuarat dengan doa yang tidak kunjung padam. mujur juga, hari terakhir mesyuarat berlangsung dalam suasana pantas dan ringkas. kami bergegas pulang ke Bangi dengan keadaan Kamila yang langsung tidak bermaya dan bibirnya merah merekah. ohhh, memang saya tidak sanggup melihat keadaannya.
 
sehari selepas pulang ternyata demamnya kebah. pun, disambut pula oleh siadik. aduhai, ujian lagi. Khayra demam teruk menjelang tengah malam, ada waktunya suhunya mencecah 40 darjah. subhanallah, saya mengurut dada. debaran kencang. saya menangis keseorangan, bimbang keselamatan anakanda tercinta. selain menguasahakan solat hajat saya juga tidak lena kerana sering memantau perkembangan suhunya. mujur juga ada air zam zam dan dicampurkan dengan asam jawa untuk menurunkan suhunya. ohhh, sepanjang tiga malam berturut saya tidak dapat lena dan tentu sekali sikecil yang berada dalam perut saya juga bimbangkan keselamatan kakaknya.  kasihan sikecil yang belum menatap dunia yang terpaksa menanggung kesedihan bersama ibunya yang terlalu risaukan anak-anak perempuannya. 
 
alhamdulillah setelah seminggu bertarung dengan perasaan, dalam debar dan resah gelisah, akhirnya kedua-dua puteri saya sihat sediakala. sikakak sudah boleh ketawa dan ralit bermain masak-masak sambil mewarna buku kegemarannya, dan siadik pula sudah mulai riuh berbicara dan lasak kembali mengusik kakaknya. rumah kami meriah semula dengan gelak tawa dan jerit pekik anakanda tercinta. sukma saya yang rawan mulai bergema dengan nada bahagia. memang, anak-anak merupakan nadi hidup saya, tanpa mereka hidup saya seakan tidak bernyawa. buat Zahra Kamila dan Zahra Khayra, moga sahaja kalian menjadi anak solehah, dipanjangkan usia dalam barakah dan kasih-sayang Allah sepanjang masa, begitu doa saya tanpa jemu buat keduanya yang tercinta!

Monday, April 30, 2012

tentang saya dan sekitar MASTERA

tanggal 24-27 April 2012, mesyuarat MASTERA tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam selamat dijalankan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. alhamdulillah, majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Awang Sariyan yang sentiasa melemparkan senyuman kemesraan. sepanjang mesyuarat, banyak perkara yang dibincangkan atas nama perkembangan persuratan Melayu serantau, dan saya merasa amat bertuah kerana sama-sama duduk mendengar, meneliti dan sesekali "bersuara". ini pengalaman yang amat bermakna dan mendewasakan. paling utama dapat menjalinkan silaturahim antara perwakilan mesyuarat yang tentunya meninggalkan kenangan yang begitu bererti. insya Allah, Persidangan MASTERA serentak dengan Seminar Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) akan diadakan pada Oktober 2012. seloroh Dr. Mu'jizah, ketua delegasi Indonesia "kala itu, baby udah keluar, dan udah berusia 2 bulan", dan saya tersenyum mengurut perut yang makin membesar. ya Rabb, sihatkanlah anak dalam kandungan ini dan berikanlah kekuatan untuk saya menjalani lingkungan hidup ini!

Sunday, April 22, 2012

tentang saya dan MASTERA

kala menerima surat pelantikan sebagai ahli Jawatankuasa Mastera Malaysia pada bulan Februari yang lalu, saya terkejut bukan kepalang. hati tertanya, saya terpilih dalam kalangan ramai sarjana sastera tanahair? ya Rabb, rezekikah ini? tidak pernah saya menjangkakannya. ya, inilah ruang dan rezeki yang Allah anugerah untuk hamba-Nya yang tidak pernah menjangka bahawa hidup ini ada sisi-sisi pemberiannya yang diambil semula, dan ada pemberiannya yang dianugerah tanpa diduga. begitu yang terjadi pada diri dalam waktu terdekat ini; saya dilantik ke dalam Jawatankuasa MASTERA, dan nama saya tercicir pula daripada senarai Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil (HSKU). dan saya menerima kedua-dua pemberian dan penarikan daripada Ya Rahman Ya Rahim ini dengan lapang dada.
apakah MASTERA? saya pernah mendengar perkataan ini daripada pembacaan sementelah pula saya mengajar subjek "Kesusasteraan Bandingan" di kampus yang memperlihatkan peri pentingnya ia dalam perkembangan sastera nusantara. MASTERA merupakan singkatan untuk "Majlis Sastera Asia Tenggara" atau "Southeast Asia Literary Council" yang menggabungkan keahlian negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam dalam soal sastera. Malah, pada tahun ini, Singapura juga akan turut serta. menurut catatan sejarah, MASTERA ditubuhkan pada tahun 1995 hasil daripada perbincangan dan persetujuan tiga buah negara perintis, iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. selain itu, saya juga mengetahui sedikit banyak tentang MASTERA ini menerusi sahabat akademik di Jabatan Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin yang merupakan ahli Jawatankuasa selama 5 tahun lamanya yang banyak pengalaman dalam "menjual" sastera Malaysia ke peringkat serantau. maka saya bagaimana pula?
memang ini satu amanah besar yang harus disandang tatkala saya melihat peranan MASTERA. bukan calang-calang ahli yang berada dalam lingkungan Jawatankuasa MASTERA kerana tanggungjawabnya bukan sekadar menghadiri mesyuarat bahkan bersuara bagi pihak perkembangan sastera nusantara. oh, mampukah saya? pun, saya selalu membisikkan ungkapan positif dalam diri saat gusar bertamu: "ini peluang, rebutlah ia. tidak semua orang berpeluang memperolehnya. ini amanah, tunaikan ia. tidak semua orang diberi amanah yang sama." dan yang paling penting, saya juga memohon restu emak dan ayah agar mendoakan kekuatan saya bersuara bagi pihak negara, Malaysia demi pembangunan sastera tercinta. selain itu, saya melihat pelantikan ini juga turut tersembunyi hikmah Allah yang tersendiri kerana saya kini dalam cuti sabatikal dan sedang melakukan kajian penyelidikan dengan tajuk "Proses Kreatif Pengarang Muslimah Nusantara" sejajar dengan pengetahuan dan penglibatan dalam MASTERA, syukur pada-Mu ya Rabb!
kisah lain di sebalik pelantikan ini tentulah mengimbau kenangan saya lima tahun yang lalu bahawa saya pernah menerima tawaran menyertai Himpunan Penulis anjuran MASTERA di Bogor, Indonesia pada tahun 2007 dalam genre novel (setiap negara menghantar 4 orang wakil yang menulis dalam genre novel). sayang sekali saya tidak dapat ikut serta kerana kala itu mengandungkan anak sulung, Zahra Kamila. dek kerana tidak dapat menghadirkan diri, saya terpaksa membuat surat tunjuk sebab lantaran nama saya sudah berada di peringkat atasan (Ketua Pengarah). dalam rasa hiba dan terkilan kerana hasrat saya untuk ke Bogor sudah lama, akhirnya tidak kecapaian pula pabila sudah ada ruang, saya dipujuk oleh orang kuat MASTERA waktu itu, Puan Hajah Zaiton Ajamain: "Tak apa Dr tak pergi sebagai peserta, insya Allah suatu masa nanti Dr Akan pergi sebagai fasilitator". aduhai, begitu harapan yang diberikan oleh Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka ini terhadap saya yang membuatkan saya sebak dan terharu.
maka hari ini, saya diberi peluang dan ruang dalam MASTERA dengan izin-Nya. terima kasih ya Allah ya Ghaffar ya Qahhar. moga saya diberi kekuatan untuk berdepan dengan "orang kuat MASTERA" Indonesia dan Brunei dan kemasukan baharu, Singapura. barangkali pengalaman akan mematangkan seseorang, dan begitu yang saya harapkan daripada pengalaman yang bakal saya kutip sepanjang berada dalam ahli Jawatankuasa MASTERA ini. 24-26 April 2012, MASTERA peringkat nusantara akan bersidang dan saya tidak terkecuali menyertainya setelah bermesyuarat peringkat Malaysia buat kali yang pertama untuk sesi 2012 pada 19 April yang lalu.
saya tidak sabar menunggu detik mengenali kerabat MASTERA dari negara jiran, Indonesia, Brunei dan Singapura bertandang, ya Rabb mudahkan semua urusan demi pembangunan sastera nusantara!  

tentang saya dan gelora sukma

apalagi yang boleh saya lakukan sepanjang cuti panjang, cuti penyelidikan, cuti sabatikal ini selain menghadap komputer, membaca dan menonton, selain melayan kerenah anak-anak di sisi? sesungguhnya melunasi cuti sabatikal yang diperuntukkan selama sembilan bulan andai tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, pasti banyak kerja-kerja penyelidikan akan tertangguh. sejak memulakan cuti pada 1 Februari 2012 yang lalu, saya sebenarnya tidak banyak melakukan usaha yang drastik tentang penyelidikan yang telah dirancang, sebaliknya memberi laluan kepada kerja-kerja lain terlebih dahulu. misalnya saya banyak menghabiskan masa menguruskan dua buah manuskrip buku yang telah dihantar kepada ITBM, melakukan penilaian terhadap satu jurnal di UMS, membaca sebuah manuskrip puisi untuk penilaian penerbitan, menilai beberapa buah cerpen untuk Pertandingan Cerpen PRESTIJ UPM, merancang beberapa buah buku bersama (proposal), dan membaca sejumlah novel untuk penilaian sebuah hadiah peringkat Malaysia. oh, tersusun penuh jadual kerja saya yang tentunya menguji ketabahan diri di celah-celah mengejar masa untuk memulakan kajian terhadap penyelidikan sabatikal ini. alhamdulillah, kesemua kerja-kerja tersebut telah pun usai dan saya berjaya menarik nafas lega.
 
ada dua manuskrip yang tiba kala saya berada di kampung halaman tempohari. kedua-duanya tebal dan memerlukan penelitian yang bukan kepalang. oh, saya kekadang mahu memuntahkan segala keluhan yang tertanggung di bahu pada seseorang tetapi sudikah mereka mendengarnya? sejak cuti dari menjengah kampus seperti lazimnya, saya mengakui bahawa saya tidak punya sahabat untuk berkongsi cerita, apatah lagi telinga untuk saya halakan segala pendaman emosi yang bersarang tentang dunia ilmiah yang saya harung. teringat waktu saya masih bujang, saya mempunyai seorang sahabat kaum selawan yang sama-sama bergulat dengan perjuangan menyudahkan tesis Ijazah Doktor Falsafah; kami sama-sama berkongsi keresahan, sama-sama berkongsi tawa, sama-sama berkongsi amarah, sama-sama berkongsi gembira dan yang paling utama sama-sama menebarkan semangat yang membuatkan sukma masing-masing bernada bahagia. sementelah pula kala itu masing-masing tidak terikat dengan mana-mana perjanjian dengan manusia istimewa, maksudnya kedua-duanya masih solo, maka kami bebas untuk menghubungi antara satu sama lain tanpa mengira masa dan suasana. talian telefonlah yang menjadi nadi penghubung antara kami; pernah suatu ketika perbualan kami merebak sehingga dinihari dengan pelbagai cerita yang menggugah rasa. oh, kenangan, mana mungkin pengalaman sebegitu akan muncul semula kerana saya tahu akhlak mulia seorang isteri tidak wajar melayani sapaan selain suaminya sendiri. dan moga sahaja Allah Ya Rahman Ya Rahim tidak menduga ikatan perkahwinan saya sehingga memaksa diri mengalih perhatian kepada orang lain selain suami yang dinikahi.
 
setelah melewati penghujung bulan keempat, baharu saya mengukuhkan kekuatan untuk memulakan kerja-kerja penyelidikan sabatikal ini. moga perancangan untuk menyempurnakan tajuk "Proses Kreatif Pengarang Muslimah Nusantara" akan terhasil walaupun saya baharu sahaja dapat menghubungi beberapa orang tokoh untuk diwawancara, pun saya berharap kerja penyelidikan yang diwajibkan sepanjang cuti sabatikal ini berjalan lancar. Allah al-Wali (Yang Maha Melindungi), al-Tawwab (Yang Maha Penerima Taubat), al-Ra'uf (Yang Maha Pelimpah Kasih), al-Mughni (Yang Maha Pemberi Kekayaan) dan al-Qawi (Yang Maha Kuat), bantu hamba-Mu, loronglah saya menjadi khalifah-Mu yang teguh jiwa, dapat mengusir gelora yang membadai sukma.
 
sebagaimana firman Allah menerusi Surah Ali Imran, Ayat 29 yang bermaksud: "Apabila kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu ataupun kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui", moga sahaja sukma manusia di atas muka bumi ini sentiasa dilimpahi ketenangan yang berpanjangan!

Saturday, April 21, 2012

tentang saya dan makanan jiwa

antara makanan yang rutin masuk ke dalam mulut manusia dengan makanan jiwa, tentunya mempunyai perbezaan yang cukup ketara. memang untuk meneruskan kelangsungan hidup, manusia memerlukan makanan ruji seperti nasi atau roti atau apa sahaja masakan yang enak yang disukai masing-masing. pun, sedarkah manusia bahawa makanan jiwa perlu bergandingan masuk ke dalam badan sebagaimana makanan lainnya. cuba perhatikan seseorang itu sihat walafiat daripada segi fizikalnya (tumbesaran badannya masya Allah sehingga kekadang menjadi obesiti), tetapi dia miskin daripada segi makanan jiwa. hidupnya tidak tenteram, fikirannya serabut, mindanya celaru dan segala tindak tanduknya juga mengelirukan. dia selalu diberikan makanan rutin tetapi tidak disumbat dengan makanan jiwa ke dalam dirinya.
 
apa itu makanan jiwa? ia sudah pastilah tentang segala macam perkara-perkara positif yang berupa motivasi, semangat, inspirasi, kata-kata perangsang, nasihat dan sebagainya yang boleh memberikan kekuatan kepada seseorang untuk meneruskan kehidupan andai dilambung dengan pelbagai permasalahan dalam mengharung perjalanan di muka bumi ini. makanan jiwa yang bagaimana bentuknya? ia tentulah tentang ucapan yang baik, ungkapan yang manis dan berhemah, tutur kata yang menyenangkan, dorongan yang menghiburkan, nasihat yang melegakan dan lain-lain kata-kata yang membuatkan sipenerima bertambah inspirasi dan motivasi dalam melaksanakan misi dan visi sehariannya.

misal sahaja seseorang itu ditimpa kesakitan seperti demam, tentu sahaja pesakit perlukan perhatian secara total daripada orang sekelilingnya. kata-kata seperti "dah makan ubat?", "bagaimana hari ini? ada kurang sikit sakit?" "rehatlah" dan sebagainya yang sekurang-kurangnya dapat meredakan kesakitan yang ditanggung. itu baharu contoh demam, apalagi kalau seseorang itu diserang penyakit teruk? tentu sahaja kata-kata rangsangan yang padu dikehendaki oleh manusia di persekitarannya terutama ahli kelaurganya. bagi yang sudah berkeluarga, tentu sahaja sokongan suami amat diperlukan selain perhatian daripada anak-anak. begitu juga tatkala seseorang itu ditimpa kesedihan mendepani sesuatu permasalahan sama ada di tempat kerja atau personal sifatnya, sudah pasti kata-kata semangat dan nasihat daripada ahli keluarga amat bermakna. apa akan terjadi andai orang di luar lingkungan keluarga, kekasih lama misalnya yang datang menabur perangsang dan melemparkan madah manis? tentu sahaja bagi wanita yang kehausan kasih-sayang suami akan tergoda dengan ungkapan yang diterima, dan yang ruginya siapa? tentulah sang suami yang tidak tahu mengendalikan perasaan halusnya sang isteri yang memerlukan perhatian dan sokongan dalam rumahtangga. lantaran kebodohan dalam menguruskan hubungan suami-isterilah yang menyebabkan banyak rumahtangga pincang menanti rebah. 
 
dek kerana hal-hal kecil yang melibatkan makanan jiwa yang seharusnya disuntik setiap masa tetapi tidak dipedulikan dan dianggap enteng, maka setelah lima atau sepuluh tahun mendirikan mahligai perkahwinan, semuanya hancur berkecai. diketahui umum bahawa seorang wanita apabila berumahtangga dan bergelar isteri, kehendaknya hanya satu: sokongan dan dorongan daripada suami. kesetiaan para isteri terhadap rumahtangga yang dibina walaupun tanpa rasa cinta pada awalnya pada sang suami, tetapi apabila sudah dikurniakan deretan anakk-anak, pasti seluruh jiwa dan raganya diperhambakan kepada keluarga, suami dan anak. berbanding sang suami walau sudah sepuluh atau dua puluh tahun berkahwin, sikap ego dan lagak masih tekal memayungi diri lantaran tidak prihatin terhadap keperluan dan kehendak sang isteri. malahan ada segelintirnya pula yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah bersama-sama kawan-kawannya berbanding menguruskan kenikmatan bersama anak-anak dan yang lebih utama bersama isteri. mengikut kajian, hanya beberapa peratus sahaja para suami yang bersedia untuk sama-sama menanggung kesusahan bersama para isteri malah bersama anak-anak. contoh paling ketara, saat isteri menghamilkan anak pertama, layanan yang diberikan oleh sang suami memang terbaik, ia akan menurun kala anak kedua, dan makin menurun pabila anak ketiga. layanan yang diberikan tentunya tidak sama dan jarang para isteri menerima layanan yang setara dalam proses menghamilkan anak-anaknya. ya Rabb!

musabab itu makanan jiwa amat penting dalam sebuah kerukunan rumah tangga. lebih-lebih lagi kala salah seorangnya dilanda musibah dan kesakitan, makanan jiwa menjadi makanan utama melebihi makanan rutin yang dihidangkan di bawah tudung saji. kata-kata seperti "sayang", "sabarlah", "tenang", "senyumlah", "kekasih",  atau sekurang-kurangnya "take care", itu sudah memadai. beruntunglah para isteri yang sentiasa mendapat perhatian daripada para suami yang sememangnya prihatian terhadap keperluan dan kehendak wanita yang telah bersusah payah mengandungkan zuriatnya. tentu sekali rugilah para isteri yang hidupnya disulami air mata dek kerana penangan para suami yang bodoh-bangang dalam memahami perasaan halusnya seorang wanita yang mengkehendaki perhatian dan belaian setiap masa lebih-lebih lagi memiliki kerjaya yang hebat di luar rumah tetapi kecundang jiwanya di dalam rumah. maka, jangan dipersalahkan sang isteri jika terpaksa melayan ungkapan indah daripada seseorang khususnya kekasih lama yang masih tekal dalam ingatan dan kenangan.

justeru  kerana peri pentingnya makanan jiwa dalam kehidupan seseorang, berikanlah ia kepada yang memerlukannya. dan saya? siapa yang sering memberikan makanan jiwa? tentulah emak dan ayah yang telah mewujudkan saya ke muka bumi ini yang tidak pernah sesaat pun melupakan doa tulusnya untuk keberkatan dan kebahagiaan saya dalam melakarkan kejayaan. sejak ditimpa penyakit misteri sepuluh tahun yang lalu yang menyebabkan saya lewat mendirikan rumah tangga dan bertungkus lumus menyudahi pengajian Ijazah Doktor Falsafah, hanya emak dan ayah yang sudi setia berada di sisi, sabar menangani penyakit saya dan terus-terusan mendoakan kesejahteraan buat saya sehingga akhirnya saya berjaya seperti hari ini. maka, dalam hidup ini selain anak-anak, emak dan ayahlah makanan jiwa saya yang paling bererti dan amat bermakna.

anda bagaimana? carilah makanan jiwa menerusi al-Qur'an sekiranya sukar memperoleh makanan jiwa daripada manusia kerana kalamullah itu sentiasa menawarkan makanan jiwa yang paling agung dalam hidup hamba-Nya!

Monday, April 16, 2012

tentang saya dan cita-cita

kalau ada yang bertanya, bagaimana saya dapat melunaskan banyak perkara dalam tempoh bergelut dengan ragam anak-anak dan keluarga, kemelut dengan tugasan di pejabat, memenuhi undangan sebagai penilai sastera daripada pelbagai agensi luar dan pelbagai seliratan masalah yang melingkari diri, oh, saya hanya melemparkan senyum sahaja. pun, dalam diri, Tuhan sahaja Yang Maha Mengetahui bahawa semua perkara yang saya lalui, sesungguhnya tanpa Dia Yang Merestui, tanpa sokongan daripada suami dan doa tulus daripada emak dan ayah, tentu saya tidak ke mana-mana. saya mengakui saya punya cita-cita yang besar dalam jiwa, sejak di bangku sekolah, merebak ke peringkat universiti. musabab itu barangkali novel pertama saya, Takdir Bukan Hukuman diterbitkan kala saya baharu sahaja mencecah usia 19 tahun. dibesarkan dalam keluarga kecil (saya anak perempuan tunggal daripada tiga orang adik beradik yang begitu diperhati dan diekori oleh keluarga sejak kecil) sebenarnya sentiasa diberi cabaran oleh abang sulung dan adik bongsu. lantaran saya tidak pernah menjadi penghuni sekolah berasrama penuh berbanding kedua-dua abang dan adik, maka saya memiliki jiwa berani dan penuh bara setiap masa. sementelah pabila bergelar pengarang kreatif, hasrat dan cita-cita sentiasa bernyala.

saya sehingga hari ini masih menyimpan rasa terkilan dalam dada kerana tidak dapat menyempurnakan novel keenam, Kamil Yang Hakiki yang setelah hampir sepuluh tahun terbengkalai dalam simpanan. dek kerana saya terlibat sebagai Panel Hakim Hadiah Sastera Utusan Exxon-Mobil sejak tahun 2002-2006, mengundur diri pada tahun 2007-2008 kerana  melahirkan Kamila dan diundang semula pada tahun 2009-2011, tumpuan kerja saya banyak diperuntukkan menilai karya orang lain. keinginan untuk melihat novel sendiri dilunasi dan diterbitkan hanya tinggal cita-cita. sementelah sebagai pensyarah sastera dan penulisan kreatif di kampus, saya turut dibebani dengan meneliti karya-karya mahasiswa. justeru, saya tidak punya masa yang ampuh untuk mengendalikan masa antara tuntutan kerjaya dan kehendak cita-cita. belum lagi bila diri dihambat dengan deadline kerja (menilai) yang datang daripada pelbagai sumber sama ada  di pejabat atau dari institusi lainnya tentang dunia persuratan Melayu tanahair. 

memang pena penulisan saya tidak pernah padam dalam diri walau dihambat oleh kekangan demi kekangan. tambahan pula bila satu persatu cerpen yang saya nukilkan tersiar di majalah Dewan Sastera beberapa tahun kebelakangan ini makin membuatkan diri teruja. musabab itu, peluang cuti sabatikal ini saya manfaat sungguh-sungguh. tidak dapat tidak, dua buah buku saya akan diterbitkan pada tahun ini walaupun bukan novel "Kamil Yang Hakiki" menemui khalayaknya. saya kini dalam debar menanti dua buah buku, "Novel Melayu dalam Pelbagai Perspektif" dan "Catatan Cinta Anakanda Bonda" dalam proses penilaian dengan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA) untuk dihadiahkan kepada diri sendiri setelah bertungkus lumus menyelesaikan banyak perkara dalam tempoh beberapa tahun ini. terima kasih paling utama tentulah buat suami yang sentiasa di sisi (tempat berkongsi pelbagai kisah suka duka, tawa hiba), anak-anak yang keletah (tempat menghumbankan segala resah dan gusar di tempat kerja kala melihat rautnya yang comel) dan doa restu nan tulus daripada emak dan ayah yang sentiasa menyokong segala tindakan saya dalam menggapai jaya. ya Rabb, sesungguhnya saya bersyukur dengan kehadiran mereka dalam hidup ini, tanpa mereka tentu saya tidak ke mana-mana.

di sela-sela menguruskan penyelidikan dan kajian terhadap kerja-kerja sabatikal, saya juga menyimpan hasrat untuk menerbitkan dua buah buku khusus untuk kelompok wanita tanahair; "Kisah Menarik dari Kampus" dan "Antara Dunia Ilmiah dan Dunia Rumah" yang menghimpunkan 10 orang pengarang yang kesemuanya terdiri daripada pensyarah di seluruh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan matlamat sebagai ibrah kepada khalayak yang hauskan inspirasi dan motivasi dalam pergelutan kehidupan. moga impian ini terlaksana dan saya fikir ini merupakan hadiah yang bermakna buat seluruh warga kampus terutamanya golongan hawa yang sering diselimuti pelbagai masalah demi masalah yang kekadang meruntuhkan sebuah kekuatan.

ya, masa yang pantas berganti, moga kita semua sentiasa dirahmati Ilahi!

Friday, April 13, 2012

tentang saya dan sahabat lama

kata orang, barang lama amat bermakna, lihat sahaja, barangan klasik yang ditinggalkan nenek moyang, tentu harganya mencecah jutaan. begitu juga dalam persahabatan, sejauh mana kita melangkah, sejauh mana seseorang meninggalkan alam kanak-kanaknya, kenangan yang terbina di usia masih pucuk tetap tidak akan terlupakan. begitu yang telah saya lalui dengan sahabat seorang ini, Fariza namanya. sehingga kini, persahabatan kami tetap utuh walau ditelan masa dan diburu usia. walaupun kekadang kami lama menyepi lantaran dikekang dengan pelbagai seliratan permasalahan kehidupan, pun, ingatan masing-masing terhadap manisnya persahabatan memang tidak pernah padam, dan tetap kekal jauh dalam lubuk perasaan.
perkenalan kami berputik kala di alam persekolahan rendah. ketika itu masing-masing baharu sahaja berpindah ke sekolah baharu, Sekolah Kebangsaan Binjai. saya dari Sekolah Kebangsaan Chukai, manakala dia dari Sekolah Kebangsaan Padang Kubu. kami masing-masing ditempatkan di kelas yang sama, Darjah 4A. berkebetulan pula sama-sama berambut panjang dan sama-sama juga merupakan anak guru. lantaran kami orang baharu dan agak janggal dengan persekitaran yang asing, persahabatan kami menjadi lekas akrab. paling menguja, kami senang bercerita kisah sekolah lama yang kami tinggalkan. dan saya tentu sahaja mengimbau kenangan masuk sekolah kala usia masih enam tahun di darjah satu (1 Merah) atau dipanggil "sekolah tumpang" kerana berkebetulan juga emak, Cikgu Sa'adiah mengajar di sekolah tersebut dan menumpangkan anaknya ini di darjah satu walhal usia saya belum pun mencecah 7 tahun. nama-nama seperti Nazri, Wan Hairil, Kamil, Razana, dan lain-lain begitu membugar dalam diri, dan dia tentu sahaja membariskan nama-nama seperti Henzy, dan sebagainya untuk kami sama-sama kongsikan kisah di sekolah lama.


yang paling meninggalkan manisnya kenangan tentulah ketika kami sama-sama meraih tempat pertama dalam peperiksaan dalam darjah 4A tersebut yang selama ini dimonopoli oleh beberapa nama seperti Norzalina, Hishamuddin dan Rohana. dan selepas itu kami dilantik menjadi pengawas sekolah sehingga akhirnya semasa darjah enam, Fariza dinobatkan pula sebagai Ketua Pengawas. ini merupakan pencapaian yang membanggakan buat saya kerana tempiasnya yang mula terkenal seluruh sekolah juga menerpa diri, malahan kami menubuhkan pula sebuah kumpulan yang dinamakan "Blackcat" yang dianggotai saya, dia dan Azizawati. bayangkan, bila tiga sahabat pengawas yang masing-masing berkebetulan mempunyai tiga orang adik-beradik, yang mempunyai aliran sefahaman dalam misi dan cita-cita dicemburui pula oleh kawan-kawan sepersekolahan. duh! saya, Fariza dan Azizawati begitu mengecap indahnya persahabatan dalam menggalur alam kanak-kanak yang menginjak remaja, yang sehingga kini jika diselak, pasti membuatkan tawa kami bergema membelah awan.


barangkali jika dikarang sebuah kisah, pasti muncul sebuah novel antara kami, begitu saya sering membayangkan. sementelah pula pada suatu ketika saya dan Fariza kerap berutus berita menerusi surat dan juga kad-kad ucapan. pernah suatu ketika surat kami mencecah bungkusan besar, tetapi dek kerana tuntutan masa, segala himpunan surat tersebut hilang  entah ke mana. pun, saya masih menyelongkar kad-kad yang dikiriminya kerana saya pernah meletakkannya di suatu tempat lain. andai dihitung perjalanan persahabatan yang terbina antara saya dengan Fariza ini, memang tidak berkesudahan. riwayat persahabatan ini cukup mengingatkan kami tentang sejauh mana kaki kami melangkah, sejauh itu juga relung ingatan kami terhadap indah pertemuan dan bongkah kesabaran yang dipasakkan bersama. 


pertemuan tanggal 9 April 2011 yang lalu mencipta suatu lagi sejarah, setelah setahun tidak bersua melakar kisah, kami dalam tempoh dua jam itu berusaha membentang apa sahaja masalah, malah berikhtiar pula menebarkan semangat dan segerombolan ibrah. doa saya sahabat nan seorang ini tetap dianugerah kesabaran demi ketabahan dalam mengharung sarat cabaran kehidupan. moga impiannya untuk mengenggam Ijazah Doktor Falfasah dipermudahkan jalan kerana sememangnya saya tahu siapa seorang Fariza sejak di alam sekolah rendah lagi, apatah lagi maklum kejayaan besarnya di kampus Lembah Pantai sebagai pelajar terbaik. kami banyak berkongsi warna-warna kehidupan yang rencam dengan suka dan duka, dengan hiba dan tawa yang sesungguhnya saya yakin setelah masing-masing diuji, Allah Ya Rahman Ya Rahim akan menghadiahkan bongkah kemenangan yang tiada tara. Fariza sahabatku, percayalah suatu masa kau akan tersenyum manis mengenang segala ujian yang mengiringi langkah perjalanan memburu cita-cita merupakan kekuatan yang sebenar sebagai hamba-Nya. dan saat itu juga, kau akan berterima kasih dengan segala perih yang diharungi, dan kita akan berkisah lagi, tunggu masa itu yang bakal mengiringi!

 

Wednesday, April 11, 2012

tentang saya dan sahabat kota singa


dia sahabat saya yang sudah terlalu lama tidak bertemu. sejak kami bergraduat untuk ijazah sarjana muda sastera pada tahun 1998, dia sudah tidak saya jumpa. malah setelah kampus Lembah Pantai kami tinggalkan, memang tidak diizinkan khabar berita yang bertamu. pun, seingat saya semasa saya menyempurnakan Ijazah Doktor Falsafah (2001-2005), pada peringkat awalnya, dia pernah mengirimkan magnet fridge (pelekat peti sejuk) yang tertulis "singapura" kepada saya menerusi sahabat yang sama menyambung pengajian kedoktoran, Haliza Abd. Rahman (kini Prof. Madya Dr. Haliza yang berkhidmat di kampus USM Kubang Krian, Kota Bharu) semasa percutiannya ke kota Singa dan bertemu sahabat ini. bermakna, mereka berdua pasti membicarakan tentang saya, dan tentunya sahabat saya ini mengingati saya. pun, derk diburu kekangan dan masalah, saya tidak sempat berhubung dengannya, dan selepas itu, saya langsung tidak mendapat khabar daripadanya sehinggalah suatu ketika, sahabat penulis, Prof. Madya Dr. Mawar Safei (pensyarah UKM) memberitahu tentang kisah sahabat ini kerana mereka bertemu di Nanyang University. oh, dia sahabat saya, Ida Susila Suandi, warga kota Singa yang pernah sama-sama menimba ilmu di kampus Lembah Pantai khususnya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1994-1998) yang lalu.

dengan izinnya, tanggal Ahad, 8 April 2012, kami bersua di MPH Alamanda, Putrajaya. tanpa terduga, kala saya dan anak-anak mencari-cari buku yang sesuai untuk bacaan kami sekeluarga, nama saya dipanggil dari arah belakang. wah, saat menolehnya, alangkah terperanjatnya, dia sahabat saya, Ida Susila Suandi yang telah bertahun lamanya tidak bertemu. kami berdakapan erat dan masing-masing senyum yang tidak lekang daripada raut masing-masing. benar, saya merinduinya cukup lama lantaran kala kami di kampus dulu, hubungan persahabatan amat kukuh. dia yang saya panggil "kak Ida" lantaran usianya yang lebih tua daripada saya dan pengalamannya yang luas dalam dunia pendidikan (dia merupakan guru sekolah yang dihantar oleh kerajaan Singapura menyambung pengajian ke Universiti Malaya, dan hal ini sudah menjadi trend bagi warga kota singa yang akan mendalami subjek Bahasa Melayu). tambahan pula, kak Ida ini seorang sahabat yang tidak lokek dengan apa sahaja barangan dan paling utama, tentulah kebaikannya yang sering membelanja saya makan-makan sama ada di KFC, Macdonald dan lain-lain premis kedai makan sekitar Petaling Jaya dan Bangsar. malahan kenangan kala tahun kedua pengajian begitu menguja lantaran kami sama-sama ditempatkan dalam satu kumpulan penggambaraan drama "Sonanta" (skrip allahyarham Dr. Anuar Nor Arai) yang begitu mencabar. lebih kurang dua bulan kami "berkampung" dalam satu kumpulan dan "berjaga malam" di lokasi Kajang, Kuala Lumpur dan Bangsar untuk menjayakan penggambaran tersebut.

dan kenangan lain yang begitu meninggalkan makna yang besar buat saya tentulah kepercayaannya mengizinkan saya menumpang di apartmen Vista Angkasa ketika tahun ketiga pengajian lantaran kami diwajibkan melakukan praktikal di mana-mana industri penerbitan, penyiaran dan pengurusan. selama dua bulan saya dan beberapa sahabat satu pengajian, Jabatan Pengajian Media menumpang di rumahnya tanpa dikenakan apa-apa bayaran merupakan ingatan yang paling berharga buat saya yang menunjukkan dia begitu menghargai persahabatan dan memahami kesukaran kami sebagai pelajar yang sukar mendapatkan rumah sewa dan proses penyesuaian sebelum menamatkan pengajian.

dia, Ida Susila Suandi, sahabat saya yang begitu saya senangi bukan kerana latar belakangnya yang berada dan mewah dengan harta benda, pun kerana keprihatinannya dan keramahannya dalam menggalurkan persahabatan. tahniah buatmu sahabatku, Dr. Ida Susila Suandi yang telah menamatkan pengajian ijazah kedoktoran di Universiti Warwick, United Kingdom dan kini masih berkhidmat di sekolah di Singapura. saya mendoakan yang baik-baik sahaja buatmu sekeluarga dan moga ukhwah yang terbina ini berkekalan sehingga hujung usia, dan yang paling utama, moga diberikan izin-Nya kita bertemu semula!

Saturday, April 7, 2012

tentang saya dan topeng manusia

dalam dunia ini, banyak ditemui manusia dengan pelbagai sosok badan dan rupa malah dipakej dengan sifat dan sahsiah yang bermacam yang kesemuanya untuk membezakan golongan baik dengan golongan tidak baik. justeru, saya tidak terkecuali menemui kepelbagaian manusia ini sama ada di rumah, pejabat, atau di mana-mana saya melangkah. pada peringkat awal barangkali tidak ramai yang maklum tentang kewujudan topeng manusia kerana biasanya ia ditutup erat dan ketat. hanya orang-orang tertentu sahaja yang mengenali topeng manusia, itupun setelah banyak makan garam dan banyak kali pula dikecewakan. saya teringat kisah topeng manusia yang bukan sekadar wujud dalam ruang persekitaran di luar rumah, bahkan dalam rumah juga. ada topeng manusia yang terjadi dalam kalangan adik-beradik, sanak-saudara hatta dalam lingkungan rumahtangga. apa perasaan anda kala menemukan topeng manusia dalam rumah sendiri dan ia merupakan suami yang diberi rasa percaya dan taat setia yang tidak berbelah bahagi? apa tindakan yang perlu anda lakukan pabila mengetahui topeng manusia yang dipakai suami itu sudah lama bermaharajalela dalam ikatan suci?

punahnya sebuah rumahtangga hari ini bukan sekadar hilang pertimbangan manusiawi, bahkan musnahnya tentang kefahaman agamawi. ada dalam kalangan suami raut wajah bersalut indah dengan senyuman yang tidak pernah lekang malah tegar menebarkan semangat kala memerlukan selain tekun mendengar setiap rintih isteri, rupanya hanya topeng semata-semata. saya kala mengetahui rahsia sebegini, cepat sahaja tersentuh dan terluka. kasihan sang isteri yang tertipu dengan topeng manusia, bukan orang lain pun, bahkan suami sendiri yang dinikahi. mengapa perkara sebegini terjadi? adakah cinta yang dipahat dan kasih-sayang yang diukir sudah pudar setelah lama hidup bersama? mungkinkah rasa percaya yang dilakar dan taat setia yang dibugar sudah luntur setelah lama dibentuk bersama? ada dalangkah atas setiap kejadian? oho.
 
mengapa perlu topeng manusia? kata pepatah Melayu "talam dua muka", kata banyak orang "hipokrit", aduhai. luka yang ditopeng oleh manusia yang bernama suami atau keluarga terdekat akan lebih terasa berbanding dengan manusia yang dipanggil kawan atau kenalan biasa. barangkali inilah kehidupan. seorang isteri yang baik kekadang diuji dengan seorang suami yang memakai topeng di wajahnya. seorang sahabat yang mulia seringkali diduga dengan seorang hamba Allah yang membalut topeng di muka.

pernahkah anda mengalami situasi demikian? menemui topeng manusia di setiap perjalanan, dan terpaksa pula merempuh pengalaman pahit itu tanpa disedarinya? ayuh, jika anda bertemu topeng manusia, usah pedulikan ia, campakkan ia daripada saku, kemudian buang ia jauh-jauh daripada diri untuk lebih berwaspada dalam setiap masa, selain mohon bantuan Yang Maha Esa menyisihkan topeng manusia itu sesegeranya!

tentang saya dan mukabuku

mukabuku atau popular dalam kalangan masyarakat sebagai "facebook" begitu menjadi sebagai "makanan hati" ramai orang kini. manakan tidak, boleh dikatakan hampir semua warga Malaysia ada akaun "facebook" khususnya golongan muda, dan tidak kurang juga golongan tua turut terlibat sama memiliki mukabuku sebagai tempat saling berhubungan. malahan, andai ada dalam kalangan individu yang tidak mempunyai akaun "facebook" akan dikatakan kolot dan ketinggalan zaman. pun, dalam dunia yang serba canggih ini, saya fikir perkembangan teknologi ada pro dan kontranya. saya tidak fikir mukabuku akan mengundang petaka kepada pengguna andai digunakan dengan cara yang betul, pun "facebook" akan menjunam musibah kepada seseorang jika tidak tahu memilih jalan yang lurus. saya katakan begini berdasarkan pengalaman sendiri dan perkongsian pengkisahan sahabat-sahabat akrab. bagi pihak saya, memang saya mempunyai akaun mukabuku sudah lama, lebih kurang tiga tahun lamanya setelah diundang, diajak, digalak oleh kawan-kawan seputar dunia penulisan. pada peringkat awal, memang saya tidak gemar "bermukabuku" dengan memasukkan pelbagai maklumat, acara dan sebagainya yang begitu ketara di dinding (wall) masing-masing saban hari. agak lama juga saya mengambil masa untuk memesrai "facebook" lantaran saya fikir sebagai seorang pengarang kreatif dan pengkaji ilmiah, peri pentingnya mukabuku adalah untuk menyampaikan pesanan, maklumat, peringatan, jalinan ukhwah dan yang paling penting daripada itu dapat menyuburkan dakwah sebagai seorang Muslim.

lantaran saya memiliki ramai sahabat dalam lingkungan pengarang, maka tidak dapat tidak "facebook" amat penting daripada sisi mengetahui perkembangan persuratan melayu tanahair, malah sastera dunia jua. menerusi mukabuku, seseorang pengarang dapat menjalinkan persahabatan dan mempromosi buku baharu dengan lebih intim. berdasarkan "facebook", seseorang pengkaji ilmiah dapat mengetahui maklumat tentang pelbagai sumber rujukan dan pengetahuan dalam pelbagai disiplin ilmu dan bidang. dan saya tidak nafikan dengan menggunakan mukabuku, saya memperoleh ganjaran daripada sudut memaklumi pelbagai perkembangan tanahair dan dunia dalam banyak isu dan perkara yang sesungguhnya penting bagi seorang pengarang kreatif dan pengkaji ilmiah dan pensyarah universiti agar tidak menjadi seperti "katak di bawah tempurung"
 
namun, daripada sisi lain, mukabuku juga mengundang petaka apabila ada individu yang menyalahgunakannya untuk kepentingan hawa nafsu, bukan untuk tujuan ilmu. hal ini banyak terjadi kini apabila saya mendengar kisah angkara "facebook", banyak pasangan rumahtangga musnah. dek kerana mukabuku, ramai pengguna asyik mahsyuk depan komputer dan mengabaikan keluarga. lantaran "facebook", penipuan bermaharajalela berlaku. musabab mukabuku, manusia alpa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan Muslimah. pabila meneliti hal-hal begini, tentunya bagi saya sewajarnya mukabuku atau "facebook" diharamkan operasinya sebagaimana fatwa mufti di negara Arab Saudi lama dulu tentang impak menggunakan medan canggih dalam perkembangan teknologi kini yang sebenarnya bila disiasat secara terperinci merupakan janaan kumpulan Yahudi untuk melalaikan pengguna khasnya Muslim agar menjauhi agama. fuh!
 
kalau begitu, nampaknya agenda Yahudi berjaya menenggelamkan fikiran manusia khususnya orang Asia, bangsa Melayu, anutan Islam kerana ramai kini pengguna "facebook" hanyut dilambung mimpi pabila bertemu kekasih lama, seronok dibuai perasaan pabila disapa peminat lama, bahagia disihir kata-kata romantis pabila bersua teman lelaki baharu, oh, tragisnya. saya terkesan beberapa cerita angkara "facebook" ramai pasangan suami isteri hilang kepercayaan kepada sebuah kerukunan rumahtangga yang dibina bertahun lamanya. bayangkan dek kerana mukabuku, ada suami menipu isteri status akaun "facebook" yang dimilikinya kerana bimbang isteri mengetahui aktivitinya dengan kumpulan rangkaian "sahabat-sahabat mukabuku"nya. tak terjangka dek fikiran ada isteri yang berlaku curang terhadap suaminya apabila bertemu kekasih lama menerusi mukabuku dan sering bercanda di talian "facebook"nya. tak terduga dek akal ada pasangan suami dan isteri masing-masing membawa haluan sendiri dengan menyembunyikan atau merahsiakan status "facebook" tersendiri kerana  tidak mahu berkongsi cerita lama dan baharu dalam lingkungan kawan-kawan mukabuku yang dipunyai. oh, hibanya.

justeru "facebook" atau mukabuku adakah bermakna dalam diri kalian? bak kata pepatah Melayu "tepuk dada, tanya selera", pun, jangan lupa pesanan dalam Islam "selagi sesuatu perkara itu banyak mudarat daripada manfaat, maka tinggalkan ia", ayuh pembaca budiman, renung-renung dan fikir-fikirkan demi kemaslahatan agama, nusa, bangsa dan keluarga tercinta!