Sunday, May 13, 2012

tentang saya dan menu masakan nogori

barangkali kerana ayah saya anak jati Negeri Sembilan, maka lidah saya boleh menerima apa sahaja menu masakan nogori. biarpun masakan lemak cili apinya pekat likat dengan pedas yang berasap, saya boleh menerimanya. maka kini puteri sulung, Kamila juga menerima tempiasnya yang juga begitu gemar dengan lauk yang pedas terutama masak lemak cili api yang saya pelajari daripada emak yang bertahun-tahun memasak untuk ayah. dan saya sering berseloroh dengannya: "dek awak cucu kesayangan tokki, lauk pun awak suka masakan pedas", dan kala itu Kamila ketawa mengekek.
 
pun begitu, cara masakan menu lauk nogori tentunya tidak dapat menyamai anak jati Negeri Sembilan sendiri yang memasaknya. ini dapat saya kesan daripada kekerapan kunjungan ke rumah ibu saudara, satu-satunya adik perempuan ayah, Mak Teh Ratipah@Jamaliah yang menjamu kamu dengan hidangan masak lemak cili api yang benar-benar "berapi". misalnya kunjungan kami ke rumahnya di Taman Pinang Gading baru-baru ini menyerlahkan kehebatan dan kekreatifan cara memasak orang Negeri Sembilan. kami sekeluarga dihidangkan dengan masak lemak cili api pucuk ubi rampai dan masak lemak cili api daging beserta nangka muda, fuh, enak tidak terkata. walaupun saya tahu emak sering juga menyediakan masakan tersebut kala saya masih kecil dan saya sendiri sudah maklum dan arif tentang penyediaannya, namun cara masakan anak jati nogori memang tiada tandingan.
 
masak lemak cili api pucuk ubi rampai sebenarnya satu menu yang menyelerakan sesiapa jua yang menikmati hidangan tersebut. manakan tidak kerana perencahnya yang pelbagai; pucuk ubi, daun labu, daun asam gelugur, daun kunyit, serai, ikan bilis dan tempoyak, dan jika yang gemarkan petai, bolehlah juga meletakkannya. digaul rapi dengan cili api yang santan pekat likat, waduh pasti meleleh air liur dengan aromanya yang tentu sekali membuka selera. cara racikan pucuk ubi dan daun-daun pucuk lain juga sebenarnya ada seni yang tersendiri, halus dan rapi berbanding saya pernah menikmati menu yang sama yang disediakan oleh bukan anak jati Negeri Sembilan, waduh, cara racikannya kasar sahaja:-(, asal sudah dan siap, ohhhh.
 
dan kami petang itu asyik bercoletah sekitar menu masakan nogori yang pelik tapi enak dan menyelerakan sesiapa jua; masak lemak cili api maman dengan ayam kampung, rendang pucuk ubi, masak lemak cili api otak lembu bersalutkan daun kunyit, rendang itik dan bla, bla, bla, bla. ohhhh, seakan boleh saya rakamkan segala resepi tersebut dan jadikan ia buku masakan "oghang nogori yang enak dan lazat", hahahaha, pecah gelak tawa kami sekeluarga di rumah Mak Teh Ratipah@Jamaliah, yang sudah menganggap saya seperti anaknya sendiri kerana sejak kecil sehingga kini saya dilayan "first class" olehnya dalam apa sahaja situasi. dan paling manis tentulah mengenang alam perkahwinan saya enam tahun yang lalu, beliau bertindak sebagai ibu kedua saya selepas emak dalam menguruskan kelengkapan majlis nikah dan sanding. syukur ya Rabb!
 




dan petang itu juga Mak Teh menyediakan kuih koci yang menjadi kegilaan adik bongsu saya dan suami. dan selepas memerhati caranya menyediakan bahan dan atur kerja, saya yakin selepas ini saya sudah bersedia untuk menyediakan kuih koci yang manis bersari itu, insya Allah. oh, tentang saya dan menu masakan nogori sebenarnya bukan sekadar memenuhi selera tekak bahkan yang paling utama menyuburkan ukhwah antara kami anak-beranak khususnya ikatan antara sanak-saudara sebelah ayah yang merata di Negeri Sembilan yang juga sudah tidak dikenali lantaran tempoh rantau ayah yang cukup lama di tanah kelahiran emak. oh, maka, sayalah yang bakal menyambung ukhwah ini, insya Allah, dan anak-anak saya kelak juga tahu asal usul tokkinya yang kaya khazanah warisan masakan dan kreativitinya:-)
 
 

2 comments:

  1. Sahabat,

    kadangkala aku agak kesal bila anak-anak tidak pandai berbahasa ibunda bila pulang ke Kemaman!

    Catatanmu penuh perasaan, apatah lagi bila melihat foto perkahwinanmu yang indah itu membuat hati aku tiba-tiba tersentuh :)

    ReplyDelete
  2. Izariza Sahabatku
    oh, bahasa ibunda kalau tidak dipratik memang akan hilang begitu sahaja; aku sesekali gunakan beberapa dialek Ganu dalam rumah, dan suamiku apalagi mulalah bingung dan tertanya-tanya "Apa benda ibu sebut tu?" Hahaha. Dan dia selalu mendorong aku buat penyelidikan tentang Dialek Ganu, insya Allah diberi kekuatan oleh Allah, aku akan sahut cabarannya hehe.
    nak join sama? Jommmmmmmmmm

    ReplyDelete