Monday, March 26, 2012

tentang saya dan keluarga (i)


cuti sabatikal saya selama sembilan bulan yang bermula tanggal 1 Februari 2012 lalu, kini sudah masuk bulan yang ketiga. bermakna tinggal lebih kurang enam bulan sahaja lagi cuti ini akan berakhir. penyelidikan saya tentang "proses kreatif pengarang muslimah nusantara" masih belum bermula kerana pada peringkat awal cuti, Allah menghantar saya rezeki yang lain. saya kini hamil anak ketiga. pada awal cuti sabatikal bermula, kehamilan saya sudah masuk minggu yang kelima, ini bermakna diri saya sudah mula "berisi" pada akhir bulan disember 2011 lagi yang tanpa saya sedari. ya Rabb, saya pernah terlintas di hati untuk menambah zuriat tetapi tidak pernah menyangka bahawa cuti sembilan bulan yang diperuntukkan untuk saya melakukan kajian ini, Allah memberikan saya "sesuatu" yang lain untuk keluarga saya.

antara terkejut dan di luar jangka dengan kehamilan ini tentunya saya amat bersyukur ke hadrat-Nya kerana kami akan bertambah ahli keluarga. cuma tempoh awal kehamilan saya ini begitu teruji; belum sempat saya melakarkan perancangan kerja penyelidikan, saya diserang "morning sickners" yang teruk, hampir dua bulan saya tidak boleh ke dapur dan yang saya tahu hanya tidur, tidur dan tidur.

gelora di hati kian membara, bagaimana dengan kerja penyelidikan saya? oh, hamba-Mu ini bersyukur dengan anugerah-Mu tetapi bagaimana pula dengan perjalanan kerja penyelidikan saya ini yang memerlukan saya ke negara Asia Tenggara? ya Rabb bantu hamba-Mu!

No comments:

Post a Comment