Wednesday, March 28, 2012

tentang saya dan keluarga (v)






sejak hamil anak ketiga ini, saya perasan keadaan kesihatan makin menurun dan daya kekuatan makin luntur. ditambah pula dengan emosi yang sering terganggu dan fikiran kerap disumbat dengan pelbagai permasalahan kehidupan. lantaran itu saya kerap rasa letih, lesu dan tidak bermaya; kalau boleh masa mahu diisi dengan rehat yang panjang tanpa melakukan kerja-kerja yang berat. selain itu, saya fikir barangkali disebabkan faktor usia saya yang sedang menghampiri angka 40 pada tahun hadapan. jadi, stamina mula berkurangan dan fizikal mula mengalami sakit yang pelbagai. musabab itu saya kira rahsia Allah Ya Rahman Ya Rahim menghantar zuriat ketiga kepada saya kala sedang bercuti sabatikal, jadi banyak masa dihabiskan dengan kerja penyelidikan dan berehat di rumah.

pun, sepanjang cuti di tanah kelahiran ini emosi saya sering terganggu lantaran ragam anak kedua, Khayra yang agak lasak dan manja. seringkali sikecil saya yang bakal mencecah usia 3 tahun pada 23 Oktober 2012 nanti dijadikan kemarahan saya pabila saya tidak tahan melayani kerenahnya yang suka merengek dan tidak mempedulikan arahan saya. sementelah pula cuti saya kali ini di kampung halaman terganggu dengan kehadiran anak saudara (anak adik saya), Sofia yang lasaknya luar biasa. mereka sering bergaduh dek kerana hal-hal kecil.walaupun isu anak-anak bergaduh isu biasa, namun dengan keadaan fizikal saya yang sarat "membawa perut" sekarang begitu menganggu emosi. saya tidak tahan dengan kerenah mereka yang "tidak mendengar kata" ditambah pula dengan jeritpekik yang mengegar suasana damai rumah. dalam tempoh tiga minggu ini saya terpaksa menjaga 3 orang anak kecil yang sebaya usia (3, 4 dan 5), bayangkan...

satu perkara yang membuatkan saya tersentuh dengan sikap Khayra sudah pastilah kemanjaannya dengan saya mengatasi kakaknya, Kamila. walau macamana amarah saya kepadanya dan kekadang terpaksa membuatkan saya mencubit pahanya, namun dia tetap mahukan saya di sisinya. sikecil saya ini akan merengek mahukan saya tanpa mempedulikan pujukan emak atau ayah saya. lantaran itu saya seringkali akan rasa bersalah bila melihat dia menangis, pun saya tidak ada pilihan kerana kudrat saya kala hamil ini begitu membatasi. barangkali kalau ada suami sama-sama bercuti di sini, saya boleh berkongsi menguruskan kerenah sikecil kami ini; pun, kata orang-orang tua, "budak kalau nak dapat adik, memang begitulah ragamnya", dan saya harus menerima hakikat itu.

cuma tinggal tiga hari lagi cuti kami akan berakhir; dan di setiap penghujung malam kala diberi kesempatan bangun mendirikan solat sunat, saya sempat bermunajat dan merintih pada-Nya bahawa "Ya Allah, kurniakanlah kesabaran kepada saya mendidik anak-anak kerana mereka merupakan amanah kepada saya" sambil air mata saya merembes laju. ketahuilah anak-anak ibu bahawa cinta dan kasihku padamu amat tinggi, pun kerana keupayaanku makin berkurangan kini, moga kalian menjadi anak yang mendengar kata, begitu pohon saya setiap detik. sesungguhnya anak-anak saya, Kamila dan Khayra, ibu mohon ampun jika sering berkasar kala menguruskan kalian. semoga kalian menjadi anak yang solehah, begitu tanpa jemu saya berdoa!


Tuesday, March 27, 2012

tentang saya dan keluarga (iv)






nikmat yang paling besar bagi seorang isteri pastilah pabila bergelar pula sebagai seorang ibu. saya dapat merasakannya kala melahirkan anak sulung, Kamila, diikuti anak kedua, Khayra dan disusuli anak ketiga yang bakal lahir. apabila seseorang bergelar ibu, seluruh kebahagiaan itu hanya mahu ditumpahkan kepada anak-anak walaupun kekadang ibunya sendiri menderita. begitu barangkali apa yang dirasakan oleh emak saya sendiri saat memberitahu kepada saya tentang kasih sayangnya kepada anak-anak tanpa rasa berbelah bahagi dan pilih kasih. waktu itu mungkin saya belum mengerti tentang nilai sebenar makna kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu kerana saya masih anak-anak dan bujang, kini setelah saya menikmati hidup sebagai isteri dan ibu, baharu saya tahu bahawa memang benar kasih sayang seorang ibu dan cintanya pada keluarga dan anak-anak tiada galang ganti di dunia ini.

musabab itu hidup saya kini tidak lengkap tanpa anak-anak di sisi, walaupun kerenah dan ragamnya kekadang menganggu diri. penat lelah menguruskan mereka sehari-hari bagaikan tidak terasa apabila melihat mereka tersenyum menghiburkan hati kala diri dihambat kemelut hidup terutamanya pabila tekanan di tempat kerja. begitu yang dapat saya rasakan apabila saya diamuk dengan seliratan permasalahan di kampus dan sifat manusia di sekeliling. melihat tawa, tangis dan gelak anak-anak bagaikan menghapus segala resah, gusar dan sebagainya yang merantai diri.

lantaran itu saya sanggup mengusung anak-anak ke mana sahaja saya pergi khususnya tatkala saya terlibat dalam dunia akademik kala membentangkan kertas kerja sama ada dalam atau luar negara. setakat ini saya walaupun terpaksa bersusah-payah membawa mereka ke beberapa destinasi seperti rumpun Nusantara dan negara Eropah, dan banyak bajet diperuntukkan untuk perjalanan perbelanjaan kami seisi keluarga, namun hati saya puas. bagi saya, anak-anak memang tiada tukar gantinya dalam hidup kini. barangkali ada dalam kalangan sahabat sarjana dan akademik "pelik" atau "terkejut" dengan cara yang dilakukan saya, tambahan pula mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya daripada suami, pun saya tidak pernah ralat atau terbeban. bagi saya amanah Allah terhadap saya dengan membesarkan anak-anak sentiasa di sisi begitu membuatkan hidup saya bahagia dan ceria.

ya Rabb, saya sesungguhnya berterima kasih pada-Mu dengan anugerah yang tidak ternilai ini, tanpa anak, tentu hidup saya tidak bermakna. syukur kerana mengurniakan rezeki zuriat buat saya dan suami walaupun kami berumahtangga dalam usia yang agak lewat. terima kasih Allah Ya Rahman Ya Rahim menghadiahkan kami permata hati yang tiada tandingannya di dunia ini!

Monday, March 26, 2012

tentang saya dan keluarga (iii)




saya memang bercadang mahu bercuti di tanah kelahiran sepanjang cuti sabatikal kerana setelah memperoleh ijazah doktor falsafah dan bergelar "Dr", berkhidmat di kampus Serdang dengan kesibukan yang bukan kepalang, saya tidak berpeluang bercuti panjang. sementelah pula emak saya kini kurang sihat dan memerlukan rumah dihuni anak-anaknya. puteri sulung saya pula, Zahra Kamila yang menjadi kesayangan ahli keluarga terutama emak saya juga sudah acapkali mengajak saya pulang ke kampung. jadi, setelah suami mengizinkan saya bercuti dengan ahli keluarga di tanah kelahiran, saya amat bersyukur. kerana juga saya satu-satunya anak perempuan emak dan setelah berumahtangga sudah lama tidak bersama-sama dengan emak di kampung, kala diberi peluang oleh suami bercuti, Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui perasaan saya.


justeru, awal Mac 2012 saya pulang ke Kemaman bersama dengan dua puteri, Kamila dan Khayra. suami berjanji akan mengambil saya kembali semula ke Bangi pada hujung Mac nanti. bermakna saya punya masa lebih kurang tiga minggu bersama emak dan ayah. kebetulan tarikh23 Mac 2012, hari ulang tahun kelahiran saya dan anakanada sulung, Zahra Kamila pula jatuh pada hari Jumaat ketika saya berada di kampung halaman. saya kira inilah kali pertama saya dan Kamila menyambut ulang tahun kelahiran masing-masing jauh daripada suami dan ayah. pun, saya bersyukur kerana buat pertama kali saya menyambut ulang tahun kelahiran bersama emak dan ayah di tanah kelahiran setelah enam tahun berumahtangga. mana mungkin peristiwa ini akan berulang lantaran emak dan ayah juga sudah berusia.


23 Mac 2012, saya dan Kamila yang berkongsi ulang tahun kelahiran kali ini menyambutnya di kampung halaman saya, walaupun tanpa hadiah dan pertemuan dengan suami yang masih di Bangi, pun kemeriahannya cukup terasa kerana meraikannya bersama emak dan ayah. syukur ya Rabb kerana memanjangkan usia saya dan puteri saya dan bakal menyambut anak ketiga pula!

tentang saya dan keluarga (ii)




saya pernah bercita-cita untuk melakukan cuti sabatikal di luar negara, sementelah semasa menyudahkan ijazah doktor falsafah dulu saya tidak berkesempatan berbuat demikian. destinasi impian saya tentulah ke negara Eropah kerana saya berhasrat meneroka banyak perkara lantaran pada awal pengkaryaan kreatif terutamanya ketika menulis novel, latar saya banyak dibuat di luar negara. hasrat saya ini pada awalnya memang disokong suami kerana dia maklumi cita-cita besar saya itu. namun apabila difikir semula, saya tidak tergamak untuk meninggalkan keluarga demi cita-cita lantaran anak-anak sangat rapat dengan saya. tambahan pula pihak universiti tidak menanggung perbelanjaan dan perjalanan ahli keluarga. sementelahan pula kami baharu sahaja ke lima negara Eropah pada tahun 2011. mana mungkin dalam tempoh tidak sampai setahun, kami harus mengorbankan duit simpanan sedangkan semasa ke sana pada hujung Mac 2011 yang lalu, sudah banyak wang simpanan kami laburkan untuk perjalanan ke Frankfurt, Geneva, Amsterdam, Paris dan London.

justeru, saya padamkan hasrat ke benua Eropah walaupun impian sarat menggunung. jadi, semasa mengisi borang permohonan cuti sabatikal, saya hanya menghantar proposal ringkas tentang perancangan penyelidikan saya di tiga negara Asia Tenggara, iaitu Jakarta, Bandar Seri Begawan dan Singapura. lantaran tidak mahu berpisah dengan anak-anak dan suami, saya fikir dengan rancangan saya melakukan di negara sekitar, saya boleh membawa anak bersama-sama.

awal Januari 2012, rupa-rupanya cita-cita saya tidak keluar negara ada hikmahnya yang tersembunyi. ia merupakan rahsia Allah yang amat besar buat saya. baharu saya tahu bahawa jawapan kepada saya tidak nekad keluar negara kerana Allah mahu menganugerahkan saya "sesuatu" untuk keluarga kami. saat saya disahkan hamil anak ketiga, tiada ungkapan yang dapat saya lafazkan, saya pernah terniat untuk menambah zuriat, Allah terlebih dahulu memperkenankan doa saya. ya Rabb, betapa kerdilnya diri ini. saat sahabat-sahabat rapat mengetahui berita saya hamil, ramai menyatakan bahawa saya bijak merancang kerana cuti sembilan bulan bersabatikal, memang sesuai untuk hamil. oh, tidak saya menjawab; saya tidak pernah merancang, dan saya juga bukan bijak merancang tetapi Allah Ya Rahman ya Rahim jua yang merancang dan hebat merancang buat saya.

menunggu detik sembilan bulan cuti sabatikal berakhir, menunggu detik sembilan bulan anak ketiga saya bakal lahir, saya sesungguhnya ya Rabb amat malu pada-Mu kerana begitu banyak rezeki yang kau anugerahkan buat hamba-Mu, pun saya selalu merasa tidak cukup berbakti pada-Mu. Allah Ya Latiff, Ya Qahar, Ya Ghaffar, kuatkan diri ini untuk beribadah hanya pada-Mu!

tentang saya dan keluarga (i)


cuti sabatikal saya selama sembilan bulan yang bermula tanggal 1 Februari 2012 lalu, kini sudah masuk bulan yang ketiga. bermakna tinggal lebih kurang enam bulan sahaja lagi cuti ini akan berakhir. penyelidikan saya tentang "proses kreatif pengarang muslimah nusantara" masih belum bermula kerana pada peringkat awal cuti, Allah menghantar saya rezeki yang lain. saya kini hamil anak ketiga. pada awal cuti sabatikal bermula, kehamilan saya sudah masuk minggu yang kelima, ini bermakna diri saya sudah mula "berisi" pada akhir bulan disember 2011 lagi yang tanpa saya sedari. ya Rabb, saya pernah terlintas di hati untuk menambah zuriat tetapi tidak pernah menyangka bahawa cuti sembilan bulan yang diperuntukkan untuk saya melakukan kajian ini, Allah memberikan saya "sesuatu" yang lain untuk keluarga saya.

antara terkejut dan di luar jangka dengan kehamilan ini tentunya saya amat bersyukur ke hadrat-Nya kerana kami akan bertambah ahli keluarga. cuma tempoh awal kehamilan saya ini begitu teruji; belum sempat saya melakarkan perancangan kerja penyelidikan, saya diserang "morning sickners" yang teruk, hampir dua bulan saya tidak boleh ke dapur dan yang saya tahu hanya tidur, tidur dan tidur.

gelora di hati kian membara, bagaimana dengan kerja penyelidikan saya? oh, hamba-Mu ini bersyukur dengan anugerah-Mu tetapi bagaimana pula dengan perjalanan kerja penyelidikan saya ini yang memerlukan saya ke negara Asia Tenggara? ya Rabb bantu hamba-Mu!