tanggal 23 Mac 2013, genap usia saya 40 tahun. menjelang usia 40 ini, Allah sahaja yang tahu perasaan saya. semuanya berbuar dalam debar dan getar, dalam bahagia dan pilu, dalam gundah dan syukur. bauran emosi ini tetiba datang menyerbu dalam diri sehari sebelum menjelangnya tanggal 23 Mac 2013. Allah, betapa kerdilnya diri kala mengenang betapa banyak nikmat yang diberikan Ya Rahman Ya Rahim sepanjang nafas yang dipinjamkan di muka bumi ini.
entah mengapa menjelang usia 40 ini rasa sayu menyelubungi diri bukan mainan. saya benar-benar tersentuh. mengenang perjalanan hidup sepanjang meredah usia 40 tahun yang diberikan Tuhan Yang Maha Perkasa, mengenang juga bagaimana jerih perihnya emak yang membesarkan saya sehingga saya pula melahirkan zuriat sendiri kini. Allah.
menjelang 40 tahun usia yang dibekalkan Ilahi ini turut mengingatkan kembali ujian demi ujian yang al-Qahhar al-Ghaffar anugerahkan buat saya dan keluarga. ujian paling getir tentulah berdepan dengan penyakit demi penyakit yang dikurniakan Tuhan untuk kami sekeluarga, bermula daripada emak tercinta yang diserang strok diikuti oleh abang sulung (Along) yang ditimpa kanser. Allahu Rabbi, kala itu diri saya bagaikan mahu pengsan. dua manusia yang paling hampir dalam diri yang banyak menabur pesan, yang banyak menuang cabaran diuji Tuhan. saat itu saya rasa hilang segalanya, kekuataan dan kebahagiaan. sirna.
emak tentulah kekuatan saya daripada dulu, kini dan selamanya. banyak dalam hidup ini saya seringkali kalah berdepan dengan relung masalah, maka emaklah timbunan pesanan. emak setiap detik akan menasihati, membimbing, mendidik dan menyayangi dan mengasihani saya tanpa henti. tidak pernah sedetik pun berkurangan perhatian emak pada saya walau saya kini memiliki tiga zuriat sendiri. walau emak pernah berkata "sayang emak sekarang pada Kamila (puteri sulung saya) melebihi dirimu", pun saya tahu kasih-sayang emak pada saya bagai dulu. saya anak perempuan tunggalnya yang tiada tukar ganti, dan cinta saya pada emak mengatasi seisi dunia ini.
along pula tentulah kerana dia satu-satunya abang kandung saya, tiada dua. sejak kecil kami amat akrab dalam menjalani musim remaja dan kanak-kanak di kampung halaman. beza usia saya dengannya yang hanya tiga tahun menjadikan hubungan kami tambah utuh. dalam banyak perkara, along sangat mengasihi saya kerana sayalah satu-satunya adik perempuannya dalam keluarga. menurut emak kala kecil, along akan memegang rotan atau kayu memarahi tetamu yang datang menziarah emak yang masih dalam pantang sewaktu melahirkan saya. along begitu menyayangi saya dan terlalu bimbang kalau-kalau ada orang lain yang mahu "memegang" atau "mengambil" saya. Allahu Rabbi.
menjelang angka 40, setelah saya memiliki Zahra Kamila, Zahra Khayra dan Muhammad Khalil Ziyad dan seorang suami yang diutus Tuhan hadir dalam hidup sebenarnya telah menyuluh jalan buat saya agar sentiasa pahatkan dalam diri dengan bongkah tenang, reda dan pasrah di puncaknya. memang saya satu-satunya anak perempuan emak yang manja dalam keluarga, pun satu-satunya juga anak perempuan yang "keras kepala" dalam banyak perkara. kalau saya mahukan sesuatu, kala itu juga saya mahu. kalau saya teringinkan suatu benda, pada masa itu juga saya inginkan. kalau saya mahu menggapai cita-cita, maka saya akan gapaikan ia walau apapun cabarannya. memang sukar manusia di sekeliling saya akan memahami jiwa dan rasa saya lebihan pula saya merupakan penulis kreatif yang bermula berkarya sejak usia 14 tahun. Rabb, tiada yang lebih mengerti diri ini melainkan-Mu dan emak yang melahirkan saya ke dunia ini.
menjelang usia 40, rasa sanubari saya sentiasa pilu, berbaur dengan rasa sendu dan haru bergumpal dalam diri. sementelah mengenang jauh perjalanan yang dilalui, betapa banyak pula ujian demi ujian yang diharungi dan banyak pula rezeki yang Allah beri, menjadikan rasa pilu, sendu dan haru silih berganti menikam sukma dan naluri. Allah, Allah, Allah, tidak terhitung nikmat-Mu atas segala kurnia, anugerah dan rezeki. saya memiliki banyak nikmat sedangkan sedikit sahaja rasa penghambaan dan ketaatan saya pada Tuhan Rabbul Jalil semesta alam ini. Tuhan, ampunkan segala khilaf yang tidak disengajakan.
menjelang angka 40, mohon saya pada Tuhan yang mewujudkan saya ke muka bumi ini, teruskan hati ini dengan istiqamah membaiki diri, menyintai Islam sepenuh hati, memakmurkan dakwah senjata umat sejati, selain penamat hidup saya dengan husnul khatimah yang didamba setiap insani. lindungi anak-anak saya, suami, emak dan ayah dan ahli keluarga kami daripada sebarang petaka dan cela yang mendatangi. Allah, Allah, Allah, perkenankan doa saya yang kerdil ini. justeru terima kasih, terima kasih dan terima kasih kerana sehingga kini masih memberi peluang saya bernafas dan berbakti pada addin dan Ilahi!