masuk tahun ini, sudah 21 tahun saya terlibat dalam dunia kepengarangan. alhamdulillah, saya masih boleh bertahan, dianugerahkan Allah Ya Rahman Ya Rahim kesihatan, kekuatan dan dorongan padu daripada seluruh ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat-sahabat akrab yang sentiasa di sisi mengikuti perkembangan saya dalam bidang yang penuh cabaran ini. masih dalam ingatan saya mula menulis kala usia 12 tahun, darjah enam di Sekolah Kebangsaan Binjai, bermula dengan catatan "biasa-biasa" sahaja dalam diari yang dihadiahkan ayah. saya mencatat segala macam aktiviti yang dilalui setiap hari sehinggalah tentang segala rasa yang membelenggu diri, maklum sahaja saya anak perempuan tunggal yang sering ditinggal emak dan ayah yang sibuk berkursus di sana dan di sini, maka arwah tok wan Halimahlah tempat saya mengadu kisah dan menagih perhatian dan kasih-sayang.
alhamdulillah pula saya dikelilingi sahabat akrab yang benar-benar memahami "jiwa" saya. salah seorangnya ialah Fariza Khalid, sahabat ini merupakan anak kepada arwah Cikgu Khalid, juga merupakan salah seorang guru besar yang sibuk seperti ayah saya dan kedua-duanya amat terkenal di Kemaman sebagai seorang guru yang tegas dan berdedikasi. kami walaupun kala itu kami masih dalam darjah yang sama, Darjah 6A tetapi telah memulakan berutus menerusi surat dan poskad. lucu bila mengenangkan pabila kami buat kali pertama saling mengirimkan poskad menerusi perkhidmatan pos lantaran mahukan "kejutan" dan "seronok" kerana dapat menerima surat dan setem yang pelbagai rupa dan bentuk. dan perkara ini terbawa-bawa sehingga masing-masing beralih ke alam sekolah menengah, yang mana saya di Sekolah Menengah Agama al-Falah dan Fariza melebarkan sayapnya ke Sekolah Menengah Tok Jiring, Kuala Terengganu lantaran pencapaian cemerlangnya dalam peperiksaan Darjah Lima. boleh dikatakan hampir setiap bulan saya akan menerima khabarnya menerusi surat dan saya juga kerap membalas suratnya itu. keadaan ini berlanjutan sehingga dia ke Kolej Islam Kelang (KIK kini KISAS), masih berterusan sahabat seorang ini mengutus berita kepada saya menerusi surat. sehinggalah saya ketika di tingkatan 2, saya masih berusaha menulis, dan kali ini saya dengan berani menulis sebuah cerpen, "Bukan Itu yang Kupinta", yang akhirnya dimajukan kepada pihak Majalah Sekolah Tahunan SMA al-Falah untuk pertandingan peraduan menulis cerpen peringkat sekolah. alhamdulillah, cerpen tersebut akhirnya memenangi tempat ketiga dan dimuatkan dalam majalah sekolah tahunan 1987. kala itu Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika kaki melangkah menaiki pentas di dewan sekolah saat menerima hadiah daripada pengetua sekolah, nama saya gah bergema dalam dewan; oh, kenangan.
maka sejak itulah saya melebarkan sayap dalam dunia penulisan dan berterima kasih pada Ya Rahman Ya Rahim kerana menganugerahkan bakat yang tidak semua dimiliki orang. pada tahun 1989, saya dengan berani pula menulis cerpen untuk Majalah Dewan Siswa setelah kerap menatap cerpen-cerpen di dalam majalah tersebut dan mengenali beberapa nama pengarang muda menerusinya. alhamdulillah, cerpen pertama saya menembusi majalah tersebut pada tahun yang sama. cerpen "Gelora Rasa" merupakan landasan utama untuk saya bergelar seorang penulis akhirnya. maka, pada tahun yang sama saya diundang untuk mengikuti bengkel Minggu Remaja yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka selama seminggu di Kuala Lumpur. kali pertama menjejakkan kaki di Dewan Bahasa dan Pustaka tentulah bauran rasa debar, gundah, ghairah, teruja dan pelbagai lagi yang menyatu dalam diri sementelah saya mewakili penulis dari Terengganu kerana bengkel ini menghimpunkan anak-anak muda yang berbakat besar dari seluruh tanahair yang karnya pernah tersiar dalam majalah Dewan Siswa atau wadah media yang lain di Malaysia. bertemu dengan sahabat penulis yang pelbagai bangsa dan perjuangan tentunya kenangan dan pengalaman yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata, semnetelahan pula saya dapat bersua dengan beberapa orang pengarang mapan dan terkenal tanahair seperti allahyarham Arena Wati, allahyarham Ismail Sarbini, allahyarham Ali Majod, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi dan lain-lain. juga dapat berkenalan dengan ramai editor majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka juga merupakan suatu bonus kerana selepas itu kami diberi bimbingan untuk terus berkarya, berkarya dan berkarya.
sehingga kini, setelah mengharungi pelbagai cabaran dan pengalaman, saya masih utuh berdiri dan masih kukuh berlari untuk terus berkarya, berkarya dan berkarya dengan lebih rancak. alhamdulillah Allah SWT masih membekalkan ilham buat saya untuk terus menyumbangkan idea untuk dinikmati oleh ummah yang hauskan tulisan yang berguna. terbaharu, saya dilantik sebagai kolumnis Majalah Farduain terbitan Kalimat Cinta Sdn. Bhd, seak Mac 2012, artikel saya boleh dinikmati ramai masyarakat sehingga kini. dan paling terharu tentulah kala beberapa orang peminat setia yang sudi menanyakan perkembangan diri tentang penulisan yang mereka ikuti sejak saya menjadi kolumnis di Majalah Anis (2001-2008), tentulah saya menjawab: "saya masih berkarya, terbaru di Majalh Farduain, dan masih menulis untuk buku, insya Allah akan terbit buku baru penghujung tahun ini, insya Allah."
senyum peminat membuatkan saya begitu dihargai. moga sahaja apa yang tercatat di persada kertas dapat dimanfaatkan bersama demi pembangunan ummah tercinta dan ia menjadi khazanah yang paling bermakna untuk saya tinggalkan buat dua puteri yang dikasihi, dan tentu sahaja untuk zuriat yang bakal lahir pada penghujung Ogos nanti. ya Rabb, sejauh ini saya melangkah, diuji, dibekali kekuatan, dianugerahi ketabahan, dititipkan kesabaran, dinaungi keimanan dan dicicipkan kesihatan, maka saya amat, amat dan amat berterima kasih dan bersyukur pada-Mu Ya Rahman Ya Rahim yang menguasai keseluruh alam ini. tanpa anugerah-Mu yang tidak putus-putus ini, tentu sahaja saya sudah tiada di muka bumi-Mu ini. untuk sekian kalinya, terima kasih Allah Penguasa alam semesta yang mewujudkan "Kamariah Kamarudin" sebagai hamba-Mu yang kerdil cuma di muka bumi ini.